

PENGISIAN PROGRAM…Antara pengisian dijalankan sepanjang program latihan. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Usaha memperkasa kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti terhadap bencana terus diperkukuh menerusi Program Latihan Pencegahan dan Kesedaran Kebakaran Kolabrasi Shell bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program tersebut dijalankan di pekarangan BBP Bintangor, baru-baru ini.
“Program yang bermula seawal 8.00 pagi hingga 1.30 petang itu berjaya menghimpunkan seramai 50 peserta dari pelbagai daerah atau zon.
“Program seperti ini penting bukan hanya untuk meningkatkan pengetahuan asas mengenai kebakaran, tetapi juga sebagai medium latihan kecemasan.
“Latihan secara langsung seperti ini membolehkan peserta lebih bersedia bertindak ketika berlaku kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, ia juga memberi kefahaman mendalam mengenai tugas menyelamat serta penggunaan peralatan pemadaman api yang betul.
“Antara pengisian utama program termasuk ceramah pencegahan kebakaran, ceramah media pemadaman, latihan CPR dan rawatan awal secara praktikal, kaedah menyelamat serta senario kebakaran yang melibatkan penyertaan semua peserta.
“Latihan kolaboratif seperti ini memberi impak besar kepada masyarakat, terutama dalam memupuk kesedaran bahawa keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama.
“Kami berharap agar lebih banyak pihak tampil bekerjasama untuk menganjurkan program sebegini di masa hadapan.
“Penglibatan syarikat korporat seperti Shell amat kami hargai dan ia patut dicontohi,” katanya.
Tambahnya, program berakhir dengan jayanya dalam suasana penuh semangat kerjasama.
Oleh Earl Anek