
SIDI BOU SAID, Tunisia: Terletak di atas sebuah bukit yang menghadap Carthage, perkampungan biru-putih terkenal Tunisia, Sidi Bou Said, kini berdepan ancaman tanah runtuh selepas hujan lebat rkod melanda sebahagian cerunnya.
Minggu lalu, Tunisia mengalami hujan paling lebat dalam tempoh lebih 70 tahun. Ribut tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa, manakala beberapa lagi masih dilaporkan hilang.
Jalan-jalan sempit di perkampungan di utara Tunis ini — yang terkenal dengan bunga bugenvilia merah jambu dan pintu kayu berukir — terhalang akibat pokok tumbang, batu serta timbunan tanah liat tebal. Lebih membimbangkan penduduk, sebahagian cerun bukit telah runtuh.

“Keadaan ini amat genting” dan “memerlukan campur tangan segera,” kata Mounir Riabi, pengarah wilayah pertahanan awam Tunis, kepada AFP baru-baru ini.
“Beberapa rumah kini terancam bahaya yang hampir berlaku,” tambahnya.
Pihak berkuasa telah melarang kenderaan berat memasuki perkampungan itu dan mengarahkan beberapa perniagaan serta institusi ditutup, termasuk Muzium Ennejma Ezzahra.
Maya, 50 tahun, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, berkata beliau terpaksa meninggalkan vila keluarga berusia lebih satu abad selepas ribut tersebut.

“Semuanya berlaku dengan sangat pantas,” katanya mengimbas kembali. Saya bersama ibu saya dan tiba-tiba aliran air yang sangat deras meluru turun.”
“Saya melihat lumpur mengalir deras ke arah rumah, kemudian bekalan elektrik terputus. Saya benar-benar takut.” Vila gaya Moor miliknya mengalami kerosakan besar.
Seorang pekerja di lokasi, Said Ben Farhat, berkata tanah menggelongsor dari cerun dan memusnahkan sebahagian dinding dapur.
“Jika hujan lebat berlaku sekali lagi, ia akan menjadi satu bencana,” katanya.

Pemilik kedai berkata larangan ke atas kenderaan berat merupakan satu lagi tamparan kepada perniagaan mereka, kerana mereka biasanya bergantung pada bas pelancong untuk membawa pengunjung.
Apabila Presiden Kais Saied melawat perkampungan itu, para peniaga kedengaran melaungkan: “Kami mahu bekerja.”
Seorang peniaga, Mohamed Fedi, memberitahu AFP selepas lawatan itu bahawa kini “tiada lagi pelanggan”.
“Kami terpaksa menutup kedai,” katanya, sambil menambah bahawa perniagaan di kawasan itu menyara kehidupan kira-kira 200 keluarga.
Selain seni binanya yang terkenal, perkampungan ini juga mempunyai kepentingan sejarah dan spiritual yang besar.
Perkampungan tersebut dinamakan sempena seorang wali sufi abad ke-12, Abu Said al-Baji, yang pernah menubuhkan sebuah pusat keagamaan di situ. Makamnya masih terletak di puncak bukit.
Pernah menjadi kediaman ahli falsafah Perancis, Michel Foucault, dan penulis Andre Gide, perkampungan ini dilindungi di bawah undang-undang pemeliharaan Tunisia, sementara menunggu keputusan UNESCO mengenai permohonannya untuk status Tapak Warisan Dunia.
Pakar berkata langkah-langkah untuk memelihara Sidi Bou Said boleh merangkumi sekatan terhadap pembangunan baharu, pembinaan lebih banyak tembok penahan, serta penambahbaikan sistem saliran bagi mengelakkan pengumpulan air larian. – AFP