GARA-gara terkesannya kewujudan varian Omicron dalam jangkitan Covid-19 di New Zealand, Perdana Menterinya Jacinda Ardern telah mengumumkan penangguhan perkahwinannya pada Ahad lepas.
Menurut media di New Zealand, Ardern dan tunangnya,Clarke Gayford, tidak pernah mengumumkan tarikh perkahwinan mereka yang sebenarnya, tetapi rata-rata rakyat New Zealand percaya ia bakal diadakan pada minggu depan. Perdana Menteri dan pasangannya memilih untuk mengumumkan juga Ahad lepas kerana Ardern sendiri
telah mengisytiharkan bahawa perintah kawalan pergerakan dan pengehadan jumlah orang berkumpul dalam
satu-satu majlis dihadkan kepada 100 orang sahaja bagi seluruh Negara New Zealand.
Kemunculan sembilan kes Covid-19 varian Omicron dikesan dalam sebuah keluarga yang telah berpergian dari kota ke kota di New Zealand selepas menghadiri satu majlis perkahwinan Pengisytiharan ‘lampu merah’ dibuat berkuatkuasa sebelah malam Ahad itu sehingga sekurang-kurangnya bulan hadapan, apabila bertambah lagi kes seorang pelayan penerbangan terjangkit ketika berada dalam pesawat yang dikendalikannya.
Varian Omicron lebih mudah berjangkitan berbanding varian Delta, tetapi kesannya tidak membawa penyakit teruk, namun New Zealand tetap menegaskan sikap berjaga-jaga mesti dipatuhi dengan wajib menggunakan pelitup muka ketika berada dalam pengangkutan awam dan di tempat-tempat beli-belah.
Apabila pihak media mengemukakan soalan tentang perasaan beliau setelah mengeluarkan perintah sehingga rancangan perkahwinan dirinya sendiri terjejas,Ardern menjawab: “Begitulah hidup!” Katanya, dia tiada bezanya
dengan ribuan rakyat New Zealand lainnya yang mungkin mengalami impak yang jauh lebih drastik sehingga
ada yang langsung tidak dapat bersama orang yang mereka sayangi akibat pandemik sejak dua tahun kebelakangan ini.
Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, jumlah kes Covid-19 hanyalah 15,104 dengan rekod 52 kematian
sejak pandemik bermula dua tahun lepas.
Jacinda Ardern dianggap oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara beberapa pemimpin dunia yang berjaya dalam usaha membendung penyakit berjangkit itu dengan bertegas mengawal sempadan keluar masuk
serta pengisytiharan kuncitara yang ketat. Beliau merupakan Perdana Menteri New Zealand ke-40 dan telah berkuasa sejak 2017.
Ikhtibar dari kes New Zealand itu, janganlah rakyat kita pula yang kurang mengambil kisah akan peri pentingnya bersikap sentiasa berwaspada kerana virus Covid-19 masih terapung diawangan dan tidak kelihatan dengan nyata.