Bagi segelintir yang sukakan aktiviti lasak, Kolam Biru di Santubong ibarat taman permainan mereka. Saban minggu, tanpa jemu mereka gigih meredah onak dan mendaki bukit semata-mata untuk beristirehat di kolam semulajadi di tengah-tengah rimba ini.
Di sini mereka bermesra dengan alam tanpa gangguan gajet-gajet pintar, tanpa deruan dan asap kenderaan serta jauh dari hiruk-pikuk kota. Yang ada hanya mereka dan alam. Desiran angin yang menyapa dedaun pohon, kicauan unggas rimba dan deruan lembut air jeram yang terjun ke kolam adalah irama yang mereka cari.
Justeru mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan khazanah alam ini daripada disentuh oleh pembangunan. Bagi mereka, pembangunan boleh dipindahkan ke lokasi lain tetapi warisan alam ini harus kekal di tempatnya. Tidak ada kompromi.
“Sungai tidak minum airnya sendiri, pepohon tidak makan buahnya sendiri, matahari tidak bersinar untuk kepentingannya sendiri dan bunga pula tidak berkembang untuknya sendiri. Sebaliknya semua itu ada untuk kewujudan dan kelangsungan hidup kita, manusia,” kata seorang pencinta alam, Lian Pasan.
Lian merupakan salah seorang daripada lebih 30,000 orang yang sudah menandatangani petisyen untuk menyelamatkan Kolam Biru dan rimba Santubong daripada projek pembangunan yang dirancang di bawa ke kawasan tersebut.
Mengikut perancangan awal, lokasi ini dipilih untuk membangunkan menara Al-Falak serta beberapa fasiliti lain, termasuk sistem jalan raya.
Petisyen ini dimulakan pada September 2020 di laman change.org bagi menjamin ekologi di kawasan ini terus terpelihara. Sasaran awal petisyen ini adalah 10,000 sokongan tetapi kini ia sudah jauh melepasi sasaran, sekali gus menjadi bukti betapa ramai yang ingin menyelamatkan Kolam Biru dan kawasan sekitarnya daripada dimusnahkan.
Kata Lian, alam sekitar di kawasan Kolam Biru itu mengambil masa puluhan ribu tahun untuk membentuk formasi semulajadi yang indah dan menakjubkan.
“Ini tidak dapat dicipta oleh manusia. Sebaik sahaja ia dimusnahkan, baharulah manusia akan sedar silapnya dan ketika ini sudah terlambat,” katanya.
Menurut Lian, beliau mengambil bahagian di dalam petisyen ini dengan harapan tindakan kolektif ini akan menyumbang kepada sesuatu yang baik.
Malah kata beliau, selagi projek bernilai RM100 juta itu belum dilaksanakan, masih ada peluang untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkannya.
“Malang sekali jika kita tidak dapat memulihara alam semulajadi dan mewariskannya untuk generasi akan datang,” kata anak jati Tanah Tinggi Bario ini.
Pendaki tegar Ija Ossen berkata, beliau sudah biasa meredah hutan dan mendaki bukit serta gunung di sekitar Kuching tetapi keindahan Kolam Biru serta persekitarannya memang tiada tolok bandingnya.
“Tidak pernah saya jumpa kawasan seperti ini di tempat lain sepanjang saya melakukan hobi ‘hiking’ ini. Tolong musnahkan tempat ini atas nama pembangunan,” kata Penganalisis Kualiti di Hospital Normah ini.
Oleh HAINI DARANI