
KUCHING: Usaha menuntut satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak wajar terus diperjuangkan bagi memastikan kebajikan rakyat serta pembangunan di kedua-dua wilayah Borneo itu dapat diberi perhatian lebih menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau menghargai suara ahli-ahli Parlimen dan senator dari Borneo yang terus membangkitkan isu tersebut di Parlimen.
Menurutnya, penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak penting kerana kawasan kedua-dua negeri itu luas dan memerlukan wakil rakyat yang mencukupi untuk memberi khidmat kepada rakyat.
“Kami menghargai suara-suara terutama daripada ahli-ahli Parlimen dan senator dari Borneo yang banyak membangkitkan isu penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Pada pandangan saya, memang wajar untuk kita mengangkat isu ini kerana kita juga mahu supaya ada penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan juga Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis berbuka puasa dan beramah mesra bersama pengamal media Sarawak di YS Cafe, di sini hari ini.
Menurut Mustapha, penambahan kerusi Parlimen bukan sahaja memberi lebih ruang kepada wakil rakyat untuk memberi khidmat kepada masyarakat, malah membolehkan lebih banyak dana pembangunan disalurkan.
“Bila kita dapat penambahan kerusi Parlimen ini, kita akan lebih fokus untuk menjaga khidmat dan kebajikan kepada rakyat.
“Selain itu, ia juga membolehkan kita menambah dana dan memberi tumpuan kepada isu infrastruktur asas terutama di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Tambah beliau, banyak kawasan di Borneo masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas dan penambahan kerusi Parlimen boleh membantu mempercepatkan usaha tersebut.
Bagaimanapun katanya, sebarang pertambahan kerusi Parlimen juga perlu mengambil kira keadaan di Semenanjung Malaysia yang turut mempunyai kawasan dengan kepadatan penduduk tinggi.

“Di Semenanjung juga ada beberapa kawasan Parlimen yang mempunyai populasi sangat tinggi, malah ada yang melebihi 300,000 penduduk.
“Jadi perkara ini juga mungkin dalam penelitian kerana ia perlu dilihat secara menyeluruh,” ujarnya.
Mengulas mengenai cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan sebelum ini, Mustapha berkata perkara itu kini dalam penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, pihaknya berharap proses berkenaan dapat dipercepatkan supaya cadangan tersebut boleh dibawa ke peringkat seterusnya.
“Itu sudah dibangkitkan dan saya fikir SPR sedang meneliti perkara tersebut.
“Kita berharap pihak-pihak yang terlibat dapat mempercepatkan proses ini kerana kita mendengar suara daripada Sarawak terutamanya mengenai penambahan kerusi DUN,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat