DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengadakan sidang media selepas lawatan bersama Kontinjen Sarawak di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.
MENTERI Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kedudukan Kontinjen Sarawak yang berada di tangga keenam pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dilihat cukup baik.
“Mungkin kita tidak dapat mencapai sasaran 44 pingat emas pada kali ini. Namun daripada segi pulangan statistik seperti sukan renang dengan mereka menyasarkan dua emas telah berjaya dicapai.
“Daripada apa yang saya lihat kedudukan Sarawak cukup baik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Kontinjen Sarawak di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, semalam.
Sarawak berada di tangga keenam setakat semalam yang mana kontinjen negeri telah berjaya mengutip 16 pingat emas.
“Tahniah dan syabas kepada mereka yang telah mencapai kejayaan dengan menghadiahkan pingat emas, perak dan gangsa kepada kontinjen negeri.
“Perjuangan belum selesai. Ia akan tamat 24 September dan masih banyak acara sukan yang atlet kita masih lagi terlibat. Harapan kita adalah Sarawak berada dalam senarai lima teratas,” ujarnya.
Jelasnya, SUKMA kali ini sangat mencabar kerana kali terakhir ia dijalankan empat tahun lalu di Perak.
“Sepatutnya SUKMA dijalankan pada 2020, namun bukan itu alasannya, negeri lain hadapi masalah sama.
“Selepas balik Sarawak, kita perlu buat post-mortem mendalam dimana kesilapan dan dimana kekurangan untuk tingkatkan prestasi SUKMA akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi cadangan kepada pengusaha kompleks beli-belah agar menyediakan tempat untuk acara sukan seperti tinju dan muaythai.
Ia adalah bertujuan bagi mencungkil bakat anak muda dalam sukan itu sekali gus dapat menjadikan Sarawak sebagai ‘Kuasa Rumah Sukan.’
“Pada masa kini, kita nampak kompleks membeli-belah boleh digunakan untuk sesetengah acara sukan seperti tinju dan muaythai.
“Hal ini kerana ia merupakan lokasi ramai orang datang dan atlet kadang-kadang lebih ghairah apabila dalam suasana penonton ramai memberi sokongan.
“Saya setuju kalau pengusaha kompleks beli-belah memberi kebenaran dan menganjur sukan itu di dalam kompleks mereka. Inj adalah satu usaha baik supaya tidak semua dilakukan di kompleks sukan sahaja,” katanya.
Tambahnya lagi, dari aspek lain beliau memang melihat bahawa pembangunan sukan memerlukan kerjasama dan sokongan dari semua lapisan masyarakat samada dari pihak agensi kerajaan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atau pihak swasta.