Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Perjalanan demi pemilikan untuk kesejahteraan bersama
  • RENCANA

Perjalanan demi pemilikan untuk kesejahteraan bersama

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERJALANAN amanah yang panjang akhirnya berlabuh, Kompleks Islam Sarawak, Sri Aman berdiri sebagai legasi pemilikan ummah demi kesejahteraan bersama.

“Apa yang kita bina hari ini bukan sekadar bangunan, tetapi legasi yang menghubungkan amanah, kerja keras dan doa demi kesejahteraan bersama.”

ALHAMDULILAH tanggal 20 Disember 2025, hari yang dinanti akhirnya tiba. Kompleks Islam Sarawak, Sri Aman kini diizinkan untuk dirasmikan setelah siap sepenuhnya. Ia hasil sebuah perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran, kesabaran dan kecekalan.

Insya-Allah, majlis perasmian ini akan disempurnakan oleh YAB Premier Sarawak, satu penghormatan besar yang mencerminkan nilai dan kepentingan kompleks ini sebagai pusat pertemuan, penyediaan perkhidmatan pelbagai kerajaan dan saluran pembangunan ummah.

Didoakan agar majlis perasmian ini berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala urusan dan menjadi titik mula kepada limpahan manfaat yang berpanjangan. Bukan sahaja kepada masyarakat di Sri Aman, malah untuk seluruh masyarakat di Sarawak.

Semoga setiap usaha yang dicurahkan sepanjang pembinaannya dinilai sebagai amal kebajikan dan menjadi saksi kebaikan yang terus hidup, hari ini dan pada masa hadapan.

Kesinambungan Perjuangan Pemilikan Ummah

Kompleks Islam Sarawak Sri Aman bukan sekadar mercu tanda baharu dalam pembangunan Sarawak. Ia membawa makna yang lebih dalam iaitu simbol kesinambungan perjuangan dan keutuhan visi pemilikan ummah selepas kejayaan di Kuching, Sibu dan Miri.

Setiap kompleks dibina bukan untuk kemegahan, tetapi untuk kemudahan dan kesejahteraan. Ia menjadi tempat pertemuan urusan agama, sosial dan masyarakat dalam satu ruang yang harmoni.

Di sinilah masyarakat dapat menikmati perkhidmatan secara lebih tersusun, profesional dan mesra dari satu langkah kecil yang membawa makna besar kepada kesejahteraan bersama.

Bagi Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak, pembangunan ini bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi amanah suci. Pemilikan ummah ialah falsafah bahawa setiap aset dan pembangunan adalah milik bersama yang harus diurus untuk manfaat semua dan diwariskan demi kesinambungan kesejahteraan bersama.

Ilham Kepimpinan Dan Pandangan Jauh

Asal ilham pembangunan ini lahir daripada Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, seorang pemimpin yang melihat jauh ke hadapan.

Beliau menyedari bahawa setiap bahagian mempunyai potensi tersendiri dan tidak wajar ada yang terpinggir daripada arus pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Daripada pandangan inilah muncul gagasan bahawa setiap bahagian mesti memiliki Kompleks Islam yang berfungsi dan hidup supaya manfaat pembangunan bukan hanya di bandar besar, tetapi merangkumi seluruh pelosok Sarawak.

Hari ini, visi tersebut terus subur di bawah kepimpinan YAB Premier Sarawak, yang dengan penuh komitmen meneruskan dasar pembangunan secara inklusif dan harmoni.

Di bawah kepimpinannya, setiap dasar dan sokongan terhadap pembangunan Ummah dilaksanakan dengan semangat keterangkuman seiring aspirasi Sarawak Maju Makmur, di mana kesejahteraan dikongsi oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Manifestasi Alam, Jiwa Dan Kemajuan

Berdiri di tepian Sungai Batang Lupar, Kompleks Islam Sarawak, Sri Aman meminjam ilham daripada keindahan alam sekitarnya. Fenomena “benak” yang mengalir di hadapan menjadi simbol kekuatan dan gerak kehidupan. Ia mengingatkan bahawa kemajuan bukanlah sesuatu yang statik, tetapi sentiasa mengalir, berubah dan berkembang.

Arkitek yang merekabentuk kompleks ini menjiwai falsafah tersebut, menzahirkan keseimbangan antara alam, spiritual dan kemodenan.

Kompleks ini bukan hanya tempat memberi perkhidmatan keperluan awam, tetapi juga tempat pertemuan serta perhubungan, ruang kebajikan dan pusat kegiatan ummah. Ia menjadi wadah terbuka untuk semua lapisan masyarakat supaya tumbuh mekar semangat perpaduan dan kesejahteraan berakar.

Ujian Yang Membentuk Ketabahan

Setiap perjalanan besar tidak pernah sunyi daripada ujian. Projek ini menempuh tempoh panjang bukan kerana kelewatan, tetapi kerana ia dilaksanakan dengan teliti, berhati-hati dan beretika.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, banyak perancangan tergendala. Namun, semangat Team Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak tidak pernah pudar.

Mereka mengharungi kekangan sumber, cabaran teknikal dan rundingan pelbagai pihak dengan penuh sabar dan profesional.

Di saat ramai memilih untuk berundur, mereka memilih untuk bertahan, di saat banyak projek lain terhenti, mereka mencari jalan untuk terus bergerak.

Inilah nilai kepimpinan sejati iaitu mengurus cabaran dengan kebijaksanaan, bukan dengan alasan.

Maka berdirilah kompleks ini hari ini, bukan kerana perjalanan yang mudah, tetapi kerana kesatuan hati dan keikhlasan yang tidak pernah hilang.

Pejuang Amanah Pembangunan Baitulmal

Tidak semua wira perlu dikenali dan tidak semua jasa perlu disanjung. Namun di sisi Allah, setiap usaha yang ikhlas tidak pernah sia-sia.

Kompleks ini menjadi saksi kepada pejuang amanah warga Tabung Baitulmal Sarawak dan semua pihak yang telah menyumbang tenaga, idea dan masa tanpa mengharapkan balasan.

Ada yang memulakan dari meja perancangan, ada yang tekun di lapangan, ada yang mengurus di sebalik tabir. Semua bekerja dalam diam kerana bagi mereka setiap kerja adalah ibadah dan setiap amanah adalah janji kepada Tuhan.

Mereka mungkin tidak menulis nama di batu perasmian, tetapi doa dan keringat mereka terukir di setiap tiang dan dinding bangunan ini. Inilah wajah perjuangan sebenar di mana kerja yang tidak kelihatan, namun kesannya kekal dirasai oleh generasi seterusnya.

Legasi Amanah – Dari Satu Bahagian Ke Seluruh Sarawak

Perjalanan ini bukan bermula di sini dan bukan juga berakhir di sini. Team Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak yang sama telah melalui fasa panjang dari Kuching ke Sibu, dari Miri kini ke Sri Aman.

Empat Kompleks Islam Sarawak yang berdiri teguh hari ini mencerminkan perjalanan penuh cabaran, disulami ketabahan dan doa yang tidak pernah putus.

Setiap projek menuntut kesabaran, kecekapan dan kebijaksanaan dari urusan kewangan hingga pelaksanaan teknikal. Ada masa mereka diuji dengan kekangan, ada masa dengan pandangan atau kritikan yang meragui. Namun, mereka tidak menjawab dengan kata-kata, tetapi dengan hasil kerja.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Kompleks Islam ke empat di Sri Aman ini menjadi legasi perjuangan.

Hadiah ikhlas kepada ummah demi masa depan yang bercahaya. Ia bukan penamat, tetapi kesinambungan kepada perjuangan panjang membina tamadun yang berpaksikan nilai, berpucuk pada ilmu dan berbuah dengan manfaat kepada masyarakat seluruhnya.

Amanah, Integriti Dan Kesyukuran

Kompleks Islam Sarawak Sri Aman berdiri sebagai lambang integriti dan ketelusan pengurusan. Ia membuktikan bahawa apabila amanah dijaga, sistem diatur dengan baik dan hati disatukan dengan ikhlas maka impian yang besar mampu direalisasikan.

Tabung Baitulmal Sarawak kini bukan sekadar pengurus dana, tetapi pemangkin pembangunan ummah yang berdaya maju. Aset yang dibangunkan dihidupkan untuk memberi nilai ekonomi, sosial dan spiritual kepada rakyat.

Sokongan Kerajaan Sarawak amat besar ertinya. Sinergi antara dasar negeri dan amanah agama telah menghasilkan impak yang mendalam kepada masyarakat.

Kepercayaan yang diberikan, dibalas dengan prestasi dan hasil nyata. Inilah bentuk kerjasama yang membawa berkat antara kepimpinan yang bijak dan pengurus amanah yang berintegriti.

Doa Dan Harapan

Tiada kejayaan yang benar-benar bermakna tanpa doa dan kesyukuran. Kompleks ini hadir bukan hanya kerana usaha manusia, tetapi kerana izin dan rahmat Allah SWT.

Detik ini bukan sekadar perasmian bangunan, tetapi peneguhan tekad bahawa perjuangan pemilikan ummah mesti diteruskan. Ia simbol keyakinan bahawa kekuatan ummah bukan pada kata-kata, tetapi pada tindakan dan kesungguhan.

“Apabila amanah dijaga, keberkatan datang; apabila kerja dilakukan dengan ihsan, kesejahteraan dirasa.”

Kompleks ini membuktikan bahawa Tabung Baitulmal Sarawak bukan hanya membina struktur, tetapi membina nilai dan maruah ummah.

Kesejahteraan hanya tercapai apabila semua berperanan dari pemimpin dengan kebijaksanaan, pegawai dengan keikhlasan dan rakyat dengan kepercayaan.

Selaras dengan semangat “Pemilikan Semua Ummah”, inilah hasil nyata bahawa apabila amanah dijaga dan usaha dilakukan bersama, pemilikan menjadi sandaran dan kesejahteraan menjadi warisan.

Wallahu alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Iman yang teruji: Realiti kehidupan anak muda masa kini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.