Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Periuk kera terbesar di dunia antara tarikan BFF Labuan
  • SEMASA

Periuk kera terbesar di dunia antara tarikan BFF Labuan

Utusan Sarawak 16 hours ago
AHLI Botani Taman-Taman Sabah (TTS), Sukaibin Sumail, menunjukkan spesies periuk kera Nepenthes villosa, salah satu daripada tujuh jenis yang dibawa khas dari Kundasang, Sabah untuk dipamerkan pada Festival Flora Borneo (BFF) @ Labuan, di sini. Foto BERNAMA

LABUAN: Tujuh jenis tumbuhan periuk kera termasuk yang terbesar di dunia dikenali sebagai Nepenthes rajah dibawakan khas dari Taman Kinabalu untuk dipamerkan pada Festival Flora Borneo (BFF) di sini.

Ahli Botani Taman-Taman Sabah (TTS) Sukaibin Sumail berkata periuk kera terbesar itu diletakkan di dalam khemah yang dilengkapi pendingin udara di khemah Permata Hutan Borneo.

“Periuk kera atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai ‘Kukuanga’ ini mampu menampung kira-kira 3.5 liter air,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak BFF di sini yang berlangsung selama lima hari dan akan berakhir pada esok.

Sukaibin berkata jenis periuk kera lain yang dapat dilihat di situ ialah Nepenthes villosa, Nepenthes edwardsiana, Nepenthes stenophylla, Nepenthes burbidgeae, Nepenthes lowii dan Nepenthes reinwardtiana.

“Pengunjung juga amat berminat untuk mengetahui tentang tumbuhan ini dan saya berbesar hati menerangkan maklumat mengenai periuk kera yang jarang dilihat orang ramai ini,” katanya.

BFF yang melibatkan 31 pempamer antaranya dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan itu diadakan buat julung-julung kalinya di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di dalam khemah yang sama mendapati sebatang pokok dihiasi dengan bunga segar seperti bunga orkid, matahari dan lili dilimpahi dengan cahaya lampu diod pemancar cahaya (LED) di bahagian Bungaan Tropika Borneo yang menyerikan lagi kawasan tertutup itu.

Bagi memastikan kesegaran bunga-bunga di dalam khemah itu, hanya 25 pengunjung yang dibenarkan masuk bagi satu-satu masa, disambut oleh wangian asli daripada bunga harum sundal malam yang terdapat di dalam khemah berkenaan.

Di luar khemah pula, replika Tombiruo setinggi tiga meter turut dipamerkan yang melambangkan simbol peringatan kepada manusia supaya menghormati alam, mematuhi pantang larang dan sentiasa menjaga keseimbangan dengan alam semula jadi.

Diperbuat daripada driftwood, replika itu ialah hasil kerjasama penduduk tempatan, tenaga pengajar Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif daripada Universiti College Sabah Foundation, peminat seni ukiran, kesenian dan Warisan Borneo.

Replika itu bersama mural kontena akan kekal diletakkan di kawasan berkenaan untuk tatapan pengunjung selain dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Labuan.– Bernama

Continue Reading

Previous: Isu sempadan Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara rundingan dan undang-undang
Next: Sarawak tegas perangi rasuah, angkat budaya integriti serantau – Premier

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.