
LAGOS, Nigeria: Guinness World Records semalam secara rasmi mengiktiraf cef Nigeria, Hilda Baci, atas kejayaannya menghasilkan nasi jollof terbesar di dunia, yang dimasak di Lagos pada Jumaat lalu.
Baci meraikan pencapaian itu di platform X, manakala Guinness turut mengesahkan rekod tersebut sebagai “hidangan nasi jollof gaya Nigeria terbesar seberat 8,780 kg” atau 19,356 paun dan sembilan auns.
“Kami berjaya sekali lagi,” kata Baci, merujuk kepada rekod terdahulunya pada 2023 apabila beliau mencipta rekod memasak paling lama, selama 93 jam 11 minit sebelum diatasi oleh cef Ireland, Alan Fisher.

Pengiktirafan ini hadir sebagai hadiah awal hari lahir Baci, yang bakal menyambut usia 30 tahun hujung minggu ini.
Hidangan itu dimasak dalam periuk besar berdiameter enam meter (20 kaki), menggunakan kira-kira lima tan beras basmati, 600 kilogram bawang dan 750 kilogram minyak masak, semuanya dimasak bersama sos tomato, di hadapan lebih 8,000 penyokong yang bersorak memberi semangat.
Hidangan popular Afrika Barat ini terdiri daripada nasi yang dimasak dalam sos tomato, lazimnya disertai dengan daging atau ikan meskipun terdapat pelbagai versi di seluruh benua.

Nasi jollof berakar daripada empayar purba Wolof yang merangkumi kawasan yang kini dikenali sebagai Senegal, Mauritania dan Gambia.
Pada abad ke-14, wilayah ini terkenal dengan penanaman padi, dan masyarakat setempat menyediakan hidangan nasi bersama ikan, makanan laut dan sayur-sayuran yang dikenali sebagai thiebou dieune.
Tradisi kulinari ini tersebar ke seluruh Afrika Barat melalui penghijrahan masyarakat Wolof.
Kini, wujud persaingan sengit antara Nigeria dan Ghana, masing-masing mendakwa memiliki resipi jollof terbaik namun pada 2021, versi dari Senegal telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara. – AFP