
CUACA pada hari itu cerah dan baik. Penerbangan rutin pesawat Airbus A320 dengan nombor pendaftaran N605JB dari Lapangan Terbang Antarabangsa Cancún ke Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty yang tenang itu tiba-tiba mengalami penurunan mendadak.
Muncung pesawat anggul turun (nose down) tanpa amaran. Dalam tempoh sepuluh minit, pesawat yang berada pada ketinggian sekitar 35,000 kaki menjunam lebih 26,000 kaki sebelum berjaya distabilkan semula.
Pesawat pada awalnya dalam mod kawalan pandu auto terus diambil alih oleh juruterbang dengan mematikan sistem tersebut dan membuat lencongan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa sebagai langkah keselamatan dan mendarat dengan selamat pada 2.20 petang waktu tempatan.

Begitulah kejadian yang berlaku ke atas pesawat milik JetBlue Airways pada 30 Oktober 2025 yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 penumpang mengalami kecederaan, termasuk luka di kepala akibat hentakan ketika pesawat menjunam.
Insiden ini agak ganjil kerana pesawat berada pada altitud jelajah dalam keadaan stabil sekitar 35,000 kaki tanpa sebarang gangguan cuaca yang dijangka seperti gelora udara, ribut petir atau atau awan kumulonimbus.
Oleh itu, punca penurunan altitud yang mendadak ini sukar dijelaskan jika ia disebabkan oleh faktor meteorologi.
Sehubungan itu, pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) bersama pasukan teknikal JetBlue dan Airbus menjalankan siasatan terperinci lalu menemui petunjuk penting iaitu sesuatu yang tidak pernah dijangka sebelum ini berpotensi mencetuskan gangguan serius hingga merisikokan pesawat.

Siasatan awal segera menumpukan kepada aspek teknikal pesawat jenis fly-by-wire ini khususnya integriti data kawalan penerbangan.
Berdasarkan rakaman data penerbangan, penyiasat mendapati pada detik kejadian, sistem Elevator and Aileron Computer (ELAC) yang mengawal pergerakan muncung menerima data yang telah berubah secara tiba-tiba akibat gangguan elektronik dalaman.
Perubahan data rawak atau bit-flip ini menyebabkan sistem kawalan memberikan isyarat yang tidak sepatutnya lalu mencetuskan pergerakan muncung anggul turun secara automatik walaupun juruterbang tidak melakukan sebarang input.
Dalam beberapa saat itu, pesawat bertindak balas terhadap data yang salah seolah-olah ia diarahkan untuk menukar sikap penerbangan secara mendadak, menyebabkan penurunan altitud yang dramatik sebelum juruterbang mengambil alih sepenuhnya untuk menghentikan tindak balas luar kawalan tersebut.

Kejadian ini berlaku apabila zarah berenergi tinggi daripada radiasi suria yang dikesan berada pada tahap lebih tinggi berbanding biasa menembusi sistem pada altitud tinggi lalu mengubah data digital dalam ELAC.
Gangguan kecil inilah yang dikenal pasti sebagai punca utama insiden.
Lantas, pada 28 November 2025, Airbus mengeluarkan pekeliling Alert Operators Transmission (AOT) kepada semua pengendali pesawat dalam keluarga A320 (A319, A320, A321 termasuk varian ceo dan neo) dengan mengarahkan pemeriksaan segera dan membuat kemas kini perisian ELAC sebelum penerbangan seterusnya.
Pekeliling ini juga menekankan risiko gangguan radiasi suria terhadap sistem kawalan penerbangan.
Pihak Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) turut mengeluarkan Emergency Airworthiness Directive (EAD) 2025-0268-E pada tarikh yang sama dan berkuat kuasa serta-merta dengan mengarahkan ini setiap pengendali pesawat A320 wajib membuat penggantian atau modifikasi ELAC B L104 kepada versi selamat iaitu ELAC B L103+ atau lebih tinggi sebelum pesawat dibenarkan beroperasi semula.

Seterusnya pada 29 November 2025, Airbus membuat pengumuman ‘memanggil’ (recall) secara besar-besaran melibatkan kira-kira 6,000 pesawat keluarga A320 di seluruh dunia untuk melakukan arahan yang ditetapkan dengan segera.
Dengan ‘recall’ yang dianggap antara terbesar dalam sejarah Airbus, pastinya jadual penerbangan global turut terkesan kerana setiap pesawat adalah tidak layak untuk diterbangkan.
Namun, berita baiknya, recall ini tidak memerlukan pesawat dihantar ke kilang Airbus kerana pembetulan boleh dibuatkan terus di hangar syarikat pengendali masing-masing.
Sungguhpun kerja-kerja dilakukan di hangar sendiri, tekanan tetap tinggi kerana syarikat memerlukan pesawat segera untuk terus beroperasi mengikut jadual yang ketat.
Jurutera penyelenggaraan pula bekerja tanpa henti, memuat naik perisian baharu dan menjalankan pemeriksaan teliti terhadap sistem kawalan penerbangan bagi memastikan pesawat berada dalam keadaan benar-benar selamat.
Sebahagian pesawat keluaran awal memerlukan penggantian komponen tertentu atau penambahan modul perlindungan baharu bagi memastikan sistem kawalan penerbangan berfungsi dengan baik.
Menariknya, meskipun jumlah pesawat yang terjejas besar, kerja-kerja kemas kini perisian dapat diselesaikan dalam tempoh singkat iaitu hanya dalam beberapa jam.
Contohnya, AirAsia sebagai pengendali A320 terbesar di Asia Tenggara, berjaya memulihkan 96 pesawat dalam masa 25 jam sambil mengekalkan Prestasi Tepat Masa (OTP) setinggi 70 peratus tanpa menggunakan pesawat ganti.
Malah keseluruhan 250 pesawat mereka turut selesai dikemas kini dalam beberapa hari.
Sekali pun kemas kini perisian ini telah dilaksanakan, juruterbang tetap diberikan latihan tambahan untuk mengikuti prosedur operasi sementara bagi meningkatkan kewaspadaan terhadap sebarang pergerakan pesawat yang di luar kebiasaan semasa mod kawalan pandu auto.
Juruterbang turut dilatih untuk melaksanakan pemulihan kecemasan sekiranya sistem kawalan penerbangan gagal berfungsi seperti dijangka.
Susulan insiden ini, penyelidik keselamatan penerbangan semakin meluaskan pemahaman terhadap ancaman dan dimensi risiko yang sebelum ini dianggap remeh, tetapi kini terbukti mampu menggugat kestabilan penerbangan.
Jika pada pesawat generasi awal risiko utama terletak pada rantaian sambungan mekanikal, pesawat moden pula lebih terdedah kepada serangan siber dan gangguan elektronik.
Keadaan ini sekali gus mengubah sepenuhnya pendekatan dalam menanganinya.
Peristiwa JetBlue ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat umum tentang betapa kompleksnya dunia penerbangan moden. Apa yang kelihatan tenang dari luar sebenarnya tidak mencerminkan proses rumit yang sedang berlangsung.
Setiap operasi adalah melibatkan ribuan data, sensor dan sistem yang saling berhubung dengan serentak. Setiap komponen, daripada komputer kawalan penerbangan hinggalah ke sistem komunikasi, saling bergantung antara satu sama lain untuk memastikan pesawat bergerak dengan lancar.
Apabila satu elemen kecil terganggu, tindak balas yang terhasil boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada prestasi pesawat, malah juga kepada keselamatan penumpang dan kru di dalamnya.
Pada masa sama, insiden ini menegaskan bahawa ekosistem keselamatan penerbangan sentiasa bersedia dengan pelbagai lapisan perlindungan.
Setiap pihak yang terlibat, sama ada di peringkat pengawal selia mahupun pelaksana, mempunyai prosedur yang jelas bagi memastikan pesawat dapat kembali stabil dalam tempoh singkat.
Industri penerbangan sentiasa mengutamakan keselamatan. Setiap prosedur dirangka untuk melindungi kepentingan awam dan tindakan segera akan diambil apabila timbul sebarang isu.
Setiap penyelesaian pula dilaksanakan dengan teliti agar risiko dapat diminimumkan dan operasi kembali stabil.
Walaupun insiden ini mencetuskan ‘recall’ terbesar dalam sejarah Airbus, ia turut memperlihatkan betapa responsif dan matang ekosistem penerbangan global dalam menghadapi keadaan yang tidak dijangka.
Kita dapat menyaksikan bagaimana Airbus segera mengeluarkan arahan teknikal, pengawal selia bertindak menguatkuasakan peraturan serta-merta, manakala syarikat penerbangan melaksanakan perubahan tanpa kompromi dengan berkesan.
Oleh itu, sekiranya jadual penerbangan anda sebagai penumpang terjejas sepanjang proses ‘recall’ ini, ketahuilah bahawa langkah tersebut diambil demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan anda sepanjang perjalanan.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.