
HARI ini merupakan hari bersejarah bagi Sarawak kerana tarikh 22 Julai mempunyai makna tersendiri yang amat penting dalam kalendar sejarah Sarawak. Hari ini sudah genap 62 tahun.
Dari segi makna sejarahnya, tarikh ini melambangkan detik penting apabila buat pertama kalinya seorang anak jati Sarawak memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri.
Sebelum itu, sejarah Sarawak memperlihatkan bagaimana negeri ini dahulunya terpisah-pisah, ditadbir oleh para pembesar Melayu dan ketua-ketua suku kaum Dayak di kawasan masing-masing.
Brunei pula menjadikan kawasan-kawasan ini sebagai wilayahnya sendiri, dan disatukan dibawah pemerintahahan Brunei. Kedatangan Brooke pula memecah pegangan Brunei ini apabila wilayah-wilayah ini disatu dibawah pemerintah Brooke.
Sepanjang tempoh itu, rakyat Sarawak hanya mampu melihat dan membantu penguasa asing mentadbir negeri ini. Ada dalam kalangan mereka yang diberikan jawatan, namun tidak pada peringkat tinggi dan kuasa yang dimiliki pula amat terhad.
Pendudukan Jepun ke atas Sarawak juga tidak membawa perubahan besar. Kuasa tertinggi tetap berada di tangan Maharaja Jepun, manakala pegawai-pegawai tentera Jepun menjadi pentadbir utama dan berperanan sebagai ‘tuan’ kepada Sarawak.

British pula mengambil kesempatan menafikan usaha pengenalan Perlembagaan 9 Kardinal Sarawak untuk menjajah Sarawak secara langsung.
Akibatnya, sekali lagi Sarawak berada di bawah pemerintahan kuasa asing, kali ini bernaung di bawah Raja dan Ratu England. Wakil rasmi kerajaan British, iaitu seorang Gabenor, diberikan kuasa penuh untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri Sarawak.
Dalam hal ini, British masih tidak mampu memberi ruang kepada anak-anak Sarawak untuk mentadbir. Malah pendidikan di Sarawak masih lagi pada peringkat yang tidak bergitu memuaskan.
Hal ini menyebabkan British terus menguasai Sarawak dan melantik pegawai berbangsa Barat untuk menjadi pegawai tertinggi di Sarawak.
Pembaharuan
Namun demikian tidak dapat dinafikan juga bahawa British mempunyai agenda melakukan pembaharuan di Sarawak agar anak-anak Sarawak boleh mentadbir Sarawak satu hari nanti.
Bagaimanapun, kerajaan British di Sarawak masih tidak memberi ruang yang luas kepada anak-anak Sarawak untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Abdul Rahman Ya’akub pada awal 1963, apabila jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Sarawak masih dikuasai oleh pegawai-pegawai British.
Oleh itu apabila Malaysia diumumkan, ruang untuk memberi anak-anak Sarawak menjadi tuan di negeri sendiri terbuka luas. Walaupun peringkat awal pemimpin Sarawak tidak bergitu pasti dengan cadangan Tunku Abdul Rahman ini tetapi mula menyokong apabila ada jaminan untuk anak-anak Sarawak menjadi pemimpin di negeri mereka sendiri.
Peluang
Bermula daripada cadangan ini maka beberapa perkara dilakukan untuk memberi ruang kepada anak-anak Sarawak menerajui negerinya sendiri.
Hal ini penting kerana sebuah kerajaan sah dengan sokongan rakyat Sarawak harus ditubuhkan sebelum Malaysia dibentuk.
Maka keahlian Council Negri mula diubah dengan mewujudkan ahli-ahli dipilih oleh rakyat Sarawak. Namun demikian, pemilihannya tidak seperti hari ini.
Ia berdasarkan tiga peringkat bermula dengan pemilihan langsung ahli-ahli majlis tempatan. Peringkat kedua dilakukan pemilihan ahli-ahli majlis tempatan ke Majlis Penasihat Bahagian.
Peringkat terakhir dilakukan pemilihan ahli-ahli Council Negri peringkat negeri.
Ketika itu terdapat 42 ahli Council Negri tetapi yang dipilih hanyalah 36 sahaja. Selebihnya iaitu tiga adalah ahli dilantik dan tiga pula ahli ex-officio.
Pertandingan
Walaupun Sarawak pernah mengadakan pilihan raya negeri pertama pada 1959 tetapi pilihan raya 1963 mempunyai makna tersendiri. Ini kerana di sinilah bermulanya satu episod cukup penting apabila pemimpin Sarawak bertanding untuk menerajui kerajaan Sarawak buat pertama kali.
Council Negri telah dibubarkan pada 1 Jun 1963 yang membuka ruang kepada pilihan raya pada tahun tersebut. Pilihan raya tersebut berlangsung pada 18 Jun 1963.
Dalam pilihan raya tersebut, dua parti dan satu gabungan parti serta beberapa calon Bebas bertanding. Dua parti tersebut adalah Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Gabungan empat parti pro-Malaysia iaitu Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dan Sarawak Chinese Association (SCA) membentuk Perikatan Sarawak.
Parti-parti ini bertanding dalam episod penuh debaran kerana keputusan awal menunjukkan tiada parti mendapat majoriti. Masing-masing parti ini mempunyai peluang membentuk kerajaan.
Apa yang mereka perlu buat adalah meraih sokongan calon Bebas yang memenangi 27 peratus daripada kerusi peringkat majlis perbandaran dan luar bandar.
Perikatan Sarawak mempunyai peluang cerah kerana rata-rata calon Bebas adalah penyokong Malaysia.
Dalam hal ini, PANAS, salah satu parti menyokong kuat rancangan pembentukan Malaysia, mengambil langkah strategik untuk mengelakkan ketiadaan kerusi dalam pilihan raya dengan bergabung bersama SUPP bagi merebut kerusi di Bahagian Pertama.
Gabungan ini berjaya memperoleh 10 kerusi di kawasan tersebut, dengan pembahagian lima kerusi masing-masing untuk PANAS dan SUPP.
Perlumbaan
Hal ini menyebabkan Perikatan Sarawak berusaha menawan selebih kerusi di bahagian-bahagian lain untuk mengelak pakatan PANAS dan SUPP membentuk kerajaan.
Persaingan antara dua-dua pihak ini adalah di Bahagian Ketiga yang mempunyai 11 kerusi.
Dalam persaingan ini keadaan menyebelahi Perikatan Sarawak yang sekali gus berjaya menguasai Council Negri. Kejayaan inilah yang memberi ruang kepada pembentukan kerajaan negeri pertama.
Rundingan antara pemimpin-pemimpin Perikatan Sarawak di Sibu selama dua hari telah bersetuju untuk memilih Setiausaha Agung SNAP iaitu Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Dari Sibu, Ningkan berangkat ke Kuching. Setibanya di Kuching, beliau disambut meriah oleh sekumpulan kanak-kanak yang mengibarkan bendera sambil diiringi muzik tradisional Iban.
Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dan rundingan dengan Gabenor Sarawak, Sir Alexander Nicol Anton Waddell, bagi membentuk kerajaan baharu.
Pada ketika itu, PerikatanSarawak telah berjaya memperoleh 23 kerusi dengan tambahan sokongan daripada empat calon Bebas. Dengan jumlah ini, Perikatan Sarawak mempunyai cukup jumlah untuk membentuk kerajaan.
Atas sebab itu Ningkan kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 22 Julai 1963.
Tarikh inilah yang diabadikan dan dikenang pada hari ini sebagai satu tarikh keramat bagi negeri Sarawak, kerana buat pertama kalinya anak jati Sarawak memerintah negeri sendiri.
Maka, perjuangan anak-anak Sarawak selama ini untuk mendapatkan kuasa mentadbir tanah air mereka akhirnya menjadi kenyataan pada tarikh bersejarah tersebut.
Bagaimanapun British masih memegang kedaulatan Sarawak. British hanya menyerah kedaulatan ini pada 31 Ogos 1963. Akhir sekali selamat Hari Sarawak dan selamat bercuti bagi warga Sarawak di Bumi Kenyalang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).