TEBEDU merupakan sebuah daerah kecil terletak dalam Bahagian Serian. Tebedu juga adalah pintu masuk antara Malaysia dan Indonesia. Di sini dibina pos kawalan imigresen untuk memantau pergerakan keluar masuk sempadan antara Tebedu-Entikong.
Majoriti penduduk di Tebedu adalah masyarakat Bidayuh. Terdapat juga kaum lain menetap dan bekerja di Tebedu seperti Melayu, Cina, Iban, Melanau dan bumiputera lain.
Menurut Pat Chong Pat nama Tebedu ini diambil daripada bahasa masyarakat Bidayuh iaitu Bedu. Bedu ini pula dimaksudkan sebagai tempat yang kering.
Pada asalnya Tebedu terdiri daripada deretan kedai berjumlah 16 kedai. Pada hari ini Tebedu maju setapak lagi apabila diwujudkan Bandar Mutiara.
Aspek politik dan pentadbirannya pula, Tebedu telah diangkat sebagai salah sebuah kawasan pilihan raya negeri Sarawak. Kewujudan Tebedu sebagai kawasan pilihan raya telah dibuat pada awal tahun 1990-an. Pada pilihan raya negeri lepas Tebedu telah dimenangi oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Dr Simon Sinang Bada.
Dalam masa yang sama sesetengah pihak tidak bertanggungjawab melakukan penyeludupan kayu balak dan penyusupan Pendatang Tanpa Izin (PATI) di sempadan Tebedu-Entikong. Namun demikian usaha pihak bertanggungjawab Malaysia dapat menyekat perkembangan ini daripada menjadi berleluasa. Kejadian ini berlaku kerana sempadan darat antara Malaysia iaitu Sarawak dan Indonesia iaitu Kalimantan senang dilolos oleh pihak tertentu.
Hal inilah membawa kepada kisah berdarah yang berlaku di Tebedu pada 59 tahun yang lepas. Kejadian ini melibatkan usaha menghalang pembentukan Malaysia oleh negara jiran kita iaitu Indonesia.
Rancangan Malaysia
Apabila rancangan Malaysia diterima oleh pemimpin dan rakyat Sarawak, Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno tidak menyokong pembentukannya. Ini kerana beliau melihat Malaysia sebagai satu rancangan imperialisme gaya baharu.
Atas sebab itu beliau membantah rancangan tersebut. Pada awalnya bantahan itu dibuat dengan cara diplomasi. Tetapi kemudian melancarkan gerakan bersenjata untuk menggagalkan rancangan Malaysia.
Tebedu Diserang
Kesan daripada dasar agresif ini menyebabkan Tebedu menajdi mangsa pertama serangan pihak musuh. Kejadian yang berlaku pada 12 April 1963 sekitar jam 1.30 pagi itu melibatkan serangan ke atas balai polis di Tebedu. Hal ini berlaku dengan lebih mudah kerana balai polis tersebut amat dekat dengan sempadan Indonesia. Oleh itu gerila dari sempadan senang menyelinap masuk ke sempadan Sarawak ketika itu.
Ketika itu seramai tiga anggota polis yang bertugas di balai tersebut. Salah seorangnya bernama Koperal John Remek yang baru sahaja mengambil tugasnya pada pagi tersebut telah diserang hendap oleh pihak militia dari Indonesia. Pihak menyerang tersebut pula menggunakan pakaian seragam berwarna hijau dengan bersenjatakan karbin dan automatik.
Beliau yang tidak bersedia dengan serangan tersebut telah terkena tembakan daripada pihak yang menyerang. Serangan ini menyebabkan beliau terbunuh oleh pihak yang menyerang beliau. Pihak gerila ini pula terus menyerbu bilik yang menyimpan senjata.
Dua lagi rakan Koperal John Remek pula menyedari hal ini dan terus melakukan serangan balas. Kejadian tembak menembak yang berlaku itu menyebabkan dua anggota polis tersebut cedera. Manakala pihak lawan pula merampas beberapa senjata api yang disimpan dalam balai tersebut.
Nasib baik serangan itu tidak membawa korban yang lebih besar. Ini kerana pihak gerila yang menyerang balai polis tersebut hanya merampas senjata. Mereka tidak membakar balai polis tersebut. Gerila itu hanya melakukan tembakan ke atas kawasan berek kelamin polis. Anggota polis yang tidak bertugas pula cuba bertahan dan mengelak kejadian lebih buruk berlaku.
Kejadian yang berlaku antara 30 ke 50 minit itu berakhir apabila kira-kira 60 orang gerila itu berundur ke hutan dan sempadan. Mereka ini berjaya merampas sepucuk light machine gun, tiga pucuk submachine gun, 13 laras senapang dan sepucuk pistol serta beberapa peluru.Keadaan ini membawa kepada kelegaan anggota polis dan keluarga mereka.
Serangan di Bazaar
Namun demikian pihak gerila ini menyerang pula bazaar di Tebedu. Serangan di bazaar tersebut menimbulkan ketakutan pekedai-pekedainya. Pihak yang menyerang tersebut juga telah melakukan tembakan ke atas bazaar tersebut.
Akibat ketakutan pekedai-pekedai ini tidak membuka pintu kedai mereka. Atas sebab itu pihak penyerang telah menendang pintu kedai. Mereka berjaya measuki empat kedai dan mengambil radio, pakaian, barang kemas, jam tangan dan tekstil.
Dalam kejadian itu tidak ada kecederaan berlaku. Semua pekedai selamat daripada serangan penceroboh gerila dari sempadan Indonesia.
Bantuan
Sementara itu berita tentang serangan balai polis hanya dapat diterima pada sekitar jam 2.00 pagi apabila seorang anggota polis yang cedera menghubungi balai polis di Serian. Bantuan daripada Serian telah datang di bawah pimpinan Inspektror Aba Rubiyel Huk.
Beliau membawa Pasukan Polis Hutan meredah kawasan hutan dan berdepan dengan bahaya daripada serangan hendap. Akhirnya beliau berjaya sampai bersama pasukannya di Tebedu. Beliau dan pasukannya kemudian mengawal kawasan tersebut buat sementara waktu. Selepas itu kawalan balai polis di Tebedu itu diambil alih oleh Komandor British dengan kekuatan seramai 60 orang. Anggota komandor British ini datang dari Singapura.
Sementara itu Koperal John Remek yang terkorban pula telah dikebumikan pada 13 April 1963 di tanah perkuburan Roman Katolik, Bau. Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Sementara dua lagi pegawai polis yang cedera adalah Konstable Anyu dan Koperal Joseph. Konstable Anyu ditembak di bahagian tangan kanannya manakala Koperal Joseph terkena tembakan di telinga sebelah kanan dan pinggang sebelah kanan.
Seorang lagi anggota keselamatan yang terlibat iaitu Inspektor Reginald Chimbon, yang baru sahaja meninggalkan rumah kelamin juga telah diserang. Beliau sempat berlindung di belakang tangki air. Beliau menunggu di belakang tangka air tersebut hingga tamatnya serangan tersebut.
Perintah Berkurung
Ketika itu Tebedu hanya mempunyai penduduk sekitar 300 orang telah diarah untuk mengadakan perintah berkurung dalam tempoh antara jam 6 pagi hingga 7 malam.
Serangan ke atas balai polis Tebedu ini merupakan permulaan serangan daripada gerila pihak musuh ke atas sempadan Sarawak. Ia memulakan beberapa lagi siri serangan daripada Indonesia ke atas Sarawak. Hal ini akan dibicarakan dalam kolum akan datang.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.