APABILA Menara Berkembar Petronas diisytiharkan sebagai bangunan tertinggi dunia setelah siap dibina pada 1996, nama Malaysia menjadi sebutan dunia hingga ada pelancong Eropah dan Amerika Syarikat sanggup datang melancong ke Kuala Lumpur semata-mata mahu melihat bangunan itu.
Penciptanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan jika anda ‘pendek’ orang tak nampak, tetapi jika anda berdiri tinggi, orang lain akan mudah nampak anda. Maksudnya, Malaysia perlu melakukan sesuatu seperti membina bangunan tertinggi supaya mata dunia beralih pandangan ke Malaysia.
Namun, Menara Berkembar Petronas (setinggi 452 meter) hanya memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004, apabila dipintas oleh bangunan Burj Khalifa (setinggi 828 meter) dan Taipei 101 (setinggi 300 meter). Kini, Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan ke-11 tertinggi dunia.
Dalam satu persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur selepas itu, Perdana Menteri ke-4 pernah ditanya oleh wartawan asing mengenai perasaannya apabila dipintas bangunan tertinggi ketika itu, Taipei 101. Dr Mahathir dengan sinis menjawab – “You must remember we built two tower at one time. We still the highest”. Maksudnya Menara Berkembar Petronas masih tertinggi di dunia, kerana ia bangunan berkembar, bukan satu seperti bangunan Taipei 101.
Kini, satu lagi bakal mencatat rekod sebagai bangunan tertinggi dan masih dalam pembinaan di Kuala Lumpur iaitu Menara 118 pada ketinggian 636 meter. Jika siap ia bakal muncul bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, sekali gus muncul bangunan tertinggi di Asia Tenggara menandingi Landmark 81, Menara Shanghai dan Menara Jam Makkah.
Ketinggiannya berjaya menandingi Menara Berkembar Petronas dan Menara The Exchange 106 di negara ini. Ia akan menjadi ikon global menggambarkan Malaysia sebagai negara maju dan moden, selaras dengan negara-negara maju yang lain.
Tiang bendera tertinggi
Itu kisah bangunan tertinggi. Malaysia juga pernah memegang rekod sebagai negara pertama memiliki tiang bendera tertinggi dunia (setinggi 95 meter) selama 23 tahun sejak 1957 hinggalah 1980 apabila Korea Utara mendirikan tiang bendera lebih tinggi. Namun, rekod Korea Utara bertahan selama 21 tahun apabila ia dipintas oleh Abu Dhabi.
Kini, tiang bendera tertinggi dunia terletak di Jeddah, Arab Saudi iaitu pada ketinggian 170.6 meter. Tiang bendera Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pula kini yang ke-12 tertinggi di dunia. Berada pada kedudukan ke-11 ialah tiang bendera di Belgaum atau Belagavi, India pada ketinggian 110 meter.
Bagaimanapun, rekod semuanya tidak statik. Hari ini tertinggi, esok lusa ada lagi yang lebih tinggi dan gah – satu saingan dalam dunia moden.
Untuk tempoh beberapa tahun lagi akan muncul rekod baharu tiang bendera tertinggi dunia di Kaherah, Mesir pada ketinggian 201.9 meter iaitu 31 meter lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi sekarang di Jeddah. Ia mula dibina pada Disember 2021.
Kini, Sarawak merancang membina tiang bendera tertinggi di Malaysia iaitu di Tebingan Kuching. Menurut laporan media, ia bakal dibina pada aras setinggi 99 meter, empat meter lebih tinggi berbanding tiang bendera di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kini tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dengan ketinggian 95 meter.
Jika projek diusahakan sektor swasta itu berjaya dibina, tiang bendera di Sarawak adalah ke-12 tertinggi di dunia, cuma beza 11 meter dengan di Belgaum yang berada pada kedudukan ke-11. Malah, tiang bendera di Sarawak itu nanti bakal menjadi yang tertinggi di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, seperti juga kritikan terhadap Dr Mahathir dahulu, Sarawak tidak terlepas daripada kritikan dengan hasrat membina tiang bendera tertinggi itu. Dahulu, Dr Mahathir dikecam kiri dan kanan apabila mula membina Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah apabila merancang membuka Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Andai Dr Mahathir tunduk kepada pelbagai desakan dan kritikan ketika itu, tidak adalah Menara Berkembar Petronas dan tiada wujudlah KLIA.
Bagi Sarawak, tidak kurang juga kecaman terhadap projek tiang bendera tertinggi bernilai RM30 juta itu meskipun butiran terperinci belum diumumkan secara rasmi, cuma Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan Sabtu lalu menyatakan ia sumbangan sektor swasta tanpa membabitkan dana awam.
Tetapi bagi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, projek tiang bendera itu sebenarnya bukan isu.
“Ia adalah untuk mengingatkan rakyat Sarawak mengenai sejauh mana (pencapaian) negeri ini telah dicapai, terutamanya apabila menuntut kembali haknya. Saya percaya semua rakyat Sarawak tahu bahawa negeri kita telah ditadbir dengan baik dan pulangan seperti dalam bentuk hasil minyak dan gas (O&G) adalah baik,” katanya seperti dilaporkan media.
Beliau berkata, sebuah syarikat memutuskan untuk membiayai projek tiang bendera itu setelah mengetahui Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan untuk mendirikannya.
“Ada pihak yang membuat bising mengenai projek tiang bendera ini. Perkara sama turut berlaku apabila berita mengenai air pancut muzik sebelum ini,” katanya.
Beliau merujuk kepada projek Air Pancut Berirama Darul Hana, yang dibina di hadapan tebingan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan sekarang menjadi antara tarikan utama pengunjung ke bandar raya Kuching.
Menurut Abdul Karim, pembinaan tiang bendera yang dikatakan akan dibina 99 meter itu bukan sekadar suka-suka, tetapi bertujuan memperingati kemerdekaan Sarawak 60 tahun supaya generasi baharu mengenali sejarah negeri.
“Ia untuk memperingati perjuangan kita, perjuangan mentadbir negeri sejak zaman dahulu hingga sekarang dan perjuangan kita menuntut hak-hak (di bawah Perjanjian Malaysia 1963) yang terhakis. Selain itu saya percaya semua rakyat Sarawak bersetuju bahawa negeri kita telah ditadbir begitu baik dan hasil pendapatan bertambah, sehingga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberi pujian yang tinggi kepada Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, sesetengah pihak menyifatkan projek itu sebagai membazir kerana wang RM30 juta boleh digunakan untuk faedah lain bagi kepentingan rakyat.
Tetapi bagi Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, tidak semua dana digunakan untuk membina sekolah, hospital dan jalan raya tetapi perlu juga diperuntukkan untuk membina prasarana yang boleh merancakkan aktiviti ekonomi rakyat.
Beliau bersetuju dengan pembinaan projek tiang bendera itu memandangkan ia dibiayai syarikat swasta besar di Sarawak.
“Kalau kita lihat kos memang tinggi, tetapi jangan bandingkan dengan tiang bendera ini dengan tiang biasa di depan bangunan, memang ia tidak sama.
“Contoh kritikan terhadap pembinaan air pancut berirama berhampiran bangunan DUN, kini ia menjadi antara tarikan pelancong dan penduduk tempatan untuk beriadah. Saya melihat perancangan itu daripada aspek mencantikkan bandar raya Kuching dalam usaha kita menarik ramai kedatangan pelancongan.
“Kalau kita lihat Tebingan Kuching kini begitu cantik apabila ramai orang berkunjung, baiknya pada hujung minggu atau pada malam untuk beriadah,” katanya.
Apapun, kita tunggu perincian projek itu nanti serta lokasi sebenar.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak