KECOH seluruh negara apabila wang tunai bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000, yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan perompak Isnin lalu. Wang yang dikeluarkan oleh guru besar sekolah di pekan Semenyih pada 10.00 pagi itu, sepatutnya diagihkan kepada pelajar keesokan hari iaitu Selasa.
Pekan Semenyih lebih kurang sebesar bandar Sarikei tetapi berkembang maju sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan jalan raya sentiasa sesak terutama pada waktu pagi dan petang kerana menjadi laluan alternatif dari Kuala Lumpur/Putrajaya/Bangi ke Negeri Sembilan dan sebaliknya.
Khabarnya, guru besar yang berseorangan itu meletakkan wang di bawah kerusi penumpang hadapan, sebelum menuju ke kedai makan bersebelahan bank untuk membeli minuman. Menurut laporan media, selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, guru itu mendapati cermin keretanya dipecahkan di bahagian kanan kerusi penumpang belakang, dengan beg berisi wang tunai itu hilang.
Kes itu menjadi viral di media sosial dengan ribuan komen nitizens. Ada yang kata, guru besar itu cuai, ada yang mempersoalkan mengapa tiada eskot dan tidak kurang pula melontarkan idea kemungkinan ada konspirasi. Namun, semua itu kita serahkan kepada polis yang sedang menyiasat kes. Selagi belum terbukti apa-apa, ia masih bersifat andaian.
Apa yang pasti seperti kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 itu.
Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.
Tetapi menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu. Ini yang pelik sedikit.. 10 tahun langgar SOP.
Namun, perkara seperti ini biasa berlaku di negara kita….tidak ikut peraturan tetapi bila sesuatu insiden tidak diingini berlaku, semua terbongkar sekali gus menyerlahkan kelemahan selama ini. Bila kes dah senyap dan berlalu, semua lupa balik pasal SOP dan bila berlaku lagi, bermulalah episod tuding jari.
Untuk pengetahuan, bermula 2023 ini semua murid tanpa mengira status pendapatan ibu bapa akan menerima bantuan bernilai RM150 seorang bagi meringankan beban ibu bapa membuat persediaan sesi baru persekolahan.
Namun, penulis tertarik dengan kenyataan Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli yang menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melantik mana-mana bank komersial sebagai pihak yang menyalurkan bantuan awal persekolahan kepada murid sekolah di seluruh negara. Ini kerana katanya, bantuan yang diberikan setiap tahun kepada murid sekolah telah menjadi bebanan kepada pihak sekolah terutama guru untuk menyalurkannya kepada murid.
“KGBS bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan tetapi kami agak terkilan kerana pihak sekolah dan guru dibebankan dengan tanggungjawab dan risiko dalam menyalurkan bantuan ini. Dengan jumlah wang tunai yang besar hingga beratus ribu, guru berdepan risiko keselamatan apabila berurusan dengan pihak bank dan juga sewaktu mengagihkan bantuan berkenaan.
“Jumlah wang yang begitu besar juga mendedahkan sekolah kepada bahaya dan risiko keselamatan. Jumlah wang tunai yang banyak terpaksa disimpan di dalam peti besi sekolah akan menambah risiko sekolah dipecah masuk dan juga samun.
“Walaupun ada SOP pengeluaran yang diberi oleh KPM, ia tetap memberi risiko tinggi kepada guru. Justeru, kita berharap dengan melantik bank-bank komersial ini, bantuan tunai dapat diagihkan terus melalui akaun bank ibu bapa atau penjaga murid-murid. Cadangan itu sekali gus dapat mengurangkan risiko wang dirompak selain mengurangkan bebanan tugas guru,” katanya.
Namun, ada juga nitizen yang tidak bersetuju dengan cadangan itu dengan alasan – tiada bank di kawasan luar bandar dan pedalaman. Jika ada pun, kena pergi ke pekan atau bandar terdekat yang juga menelan belanja.
Untuk ‘menang-menang’, mungkin sesuai hantaran wang tunai untuk murid pedalaman dengan syarat patuh SOP iaitu perlu ada eskot jika guru besar pergi ke bank, manakala bagi murid di kawasan bandar dan pinggir bandar, dimasukkan wang itu ke akaun ibu bapa mereka.
Apapun, mungkin pihak berkepentingan ada cadangan yang lebih konkrit – mengelak risiko guru membawa jumlah wang yang besar dan memudahkan ibubapa mendapatkan duit bantuan awal untuk anaknya.
Rasanya tiada masalah besar jika dimasukkan ke dalam akaun bank ibu bapa. Runggutan seperti ini juga pernah timbul sebelum ini apabila kerajaan memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kemudian dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan terbaharu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Empat Perdana Menteri, empat nama bantuan itu ditukar lain. Bila PM ke-11 suatu hari ini nanti, entah apa nama pula.
Bagaimanapun, semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan menambah baik proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan termasuk memasukkan terus ke dalam akaun bank murid atau ibu bapa mereka supaya lebih selamat dan menjimatkan masa. Beliau mengambil maklum semua cadangan yang dikemukakan pelbagai pihak berhubung proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan itu sebanyak RM150 bagi setiap murid.
SCAMMER
Salah satu scam paling popular di Malaysia kebelakangan ini ialah kes Macau Scam selain banyak lagi jenis penipuan lain seperti Love Scam. Macau Scam ini bermula dengan panggilan telefon. ‘Scammer’ akan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau lain-lain.
Ada juga teknik di mana pelaku akan menggunakan Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) untuk menyamar suara daripada nombor tempatan yang biasa didengari oleh mangsa. Kemudian scammer akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke akaun pihak ketiga.
Tetapi yang hairannya mengapa masih ramai yang terperangkap sedangkan saban hari polis memberi nasihat kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Yang lebih menyedihkan mangsanya pula terdiri daripada golongan terpelajar termasuk pensyarah, selain guru dan pegawai kerajaan.
Sesetengahnya berputih mata apabila wang simpanan habis, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir habis kesemuanya.
Berdasarkan statistik, kes penipuan siber di Sarawak semakin berleluasa sejak kebelakangan ini hingga membabitkan mangsa kerugian jutaan ringgit. Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata golongan pertengahan umur, pesara, wanita bekerjaya, golongan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi antara mangsa sindiket penipuan dikenali sebagai Macau Scam, Love Scam dan pinjaman tidak wujud itu.
Jumlah laporan tertinggi dibuat setakat ini melibatkan Macau Scam ialah 246 kes dengan kerugian mencecah RM13 juta.
Kita harap kesedaran orang ramai mengenai kewujudan sindiket ini dan perlu lebih berhati-hati.
Selamat Tahun Baharu Cina dan Gong Xi Fa Chai kepada masyarakat Tionghoa yang disambut hujung minggu ini.
* Penulis adalah Penasihat Eksekutif Editorial Utusan Sarawak