DOHA: Impian menjulang Piala Dunia buat Lionel Messi dan Argentina masih menyala namun Croatia yang dikemudi kecemerlangan Luka Modric menjadi halangan mereka pada separuh akhir di Doha awal pagi Rabu ini.
Argentina bangkit daripada kejutan kalah aksi pertama mereka di Qatar di tangan Arab Saudi dan layak ke pusingan empat terakhir dengan kemenangan meletihkan menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Belanda pada suku akhir Jumaat lalu.
Sesudah mendahului 2-0 dan menguasai selepas 83 minit, dengan Messi mencipta satu gol menakjubkan dan menyempurnakan sepakan penalti, mereka melepaskan dua gol lewat dan terpaksa mengharungi masa tambahan sebelum menang 4-3 pada penentuan penalti.
Disokong kontinjen besar peminat yang hadir dari jauh membawa bersama semangat, kebisingan dan warna Argentina ke stadium pada Piala Dunia kali ini, Messi dan rakan sepasukannya mula percaya tahun ini boleh menjadi milik mereka.
“Kami menguasai bola, bersemangat, penuh hati dan kami melakukan ini khusus untuk 45 juta rakyat,” kata penjaga gol Emiliano Martinez, dan keyakinan Argentina kini semakin meningkat selepas menyaksikan musuh utama Brazil tewas pada suku akhir.
Kini berusia 35 tahun, ia dianggap peluang terakhir Messi untuk menjuarai Piala Dunia, lapan tahun selepas kekalahan Argentina pada final di tangan Jerman di Rio de Janeiro.
Dia berazam untuk menyambar peluang itu dan sudah menjaringkan dua gol pertamanya pada pusingan kalah mati Piala Dunia, meledak menentang Australia pada pusingan 16 terakhir sebelum penaltinya bertemu Belanda.
Kejayaan Piala Dunia akan melengkapkan karier gemilang buat pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu, yang mungkin pemain terhebat di peringkat kelab pernah dilahirkan.
Selepas bertahun-tahun gagal di peringkat antarabangsa, dia mencetus inspirasi kejayaan Argentina pada Copa America tahun lalu, namun dia sedar tidak ada lawan yang lebih tabah atau degil berbanding Croatia.
Lagipun, sebarang rasa lega apabila berjaya mengelak bertemu Brazil pada separuh akhir bukan bermakna laluan mereka mudah dengan prospek berdepan Croatia yang menyingkirkan pasukan pilihan itu menerusi penentuan penalti.
“Mereka pasukan hebat yang setanding dengan Brazil dan ada kalanya jauh lebih baik,” akui Messi.
“Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus di bahagian tengah dan mereka berlatih di bawah kendalian jurulatih yang sama sejak Piala Dunia lalu, jadi mereka mengenali satu sama lain dengan baik,” katanya – AFP