
PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggunakan Perhimpunan Agung ke-16 sebagai platform utama untuk memperkukuh hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia serta memastikan kepimpinan masa depan Sarawak terus mantap.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menegaskan bahawa perhimpunan itu bukan sekadar medan pemilihan kepimpinan parti tetapi juga platform penting dalam merangka hala tuju politik serta pembangunan ekonomi negeri.
“Sarawak kini berada di landasan yang kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi di rantau ini.
“Kita dapat memastikan ekonomi negeri terus berkembang pesat dengan kestabilan politik yang kita pelopori, bukan sahaja dalam sektor konvensional tetapi juga melalui pelaburan dalam ekonomi digital, tenaga hijau dan industri baharu seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Semua ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu sidang media Konvensyen PBB di sini, hari ini.
Menurut beliau, Perhimpunan Agung kali ke-16 ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja akan menentukan kepimpinan parti tetapi juga membincangkan pelbagai inisiatif penting bagi memastikan Sarawak kekal relevan dalam landskap politik dan ekonomi negara.
Perhimpunan ini dijangka menghimpunkan sekitar 3,500 perwakilan dan pemerhati daripada 82 cawangan PBB, dengan persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita diadakan sehari lebih awal pada 14 Februari sebelum acara utama pada 15 febuari nanti.
Dalam menyoroti sejarah parti, beliau menyatakan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1973, PBB telah memainkan peranan utama dalam membentuk landskap politik Sarawak.
“Bermula daripada gabungan Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA), dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), parti ini terus berkembang sebagai tulang belakang kepimpinan negeri.
“Cabaran politik seperti krisis Ming Court 1987 dan perubahan selepas Pilihan Raya Umum 2018 tidak menggugat kedudukan parti, malah memperkukuhkan lagi komitmen PBB dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.
“Dengan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBB terus mengekalkan dominasi politiknya dan membuktikan kekuatan dengan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri 2021, di mana GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan,” ujarnya.
Menurut konteks hak negeri, beliau menegaskan bahawa PBB memainkan peranan penting dalam memastikan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia terus dipertahankan.
Tambahnya, menerusi Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beberapa pencapaian utama telah diperoleh, termasuk hak negeri ke atas sumber minyak dan gas yang diperkukuh melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial (Commercial Settlement Agreement) dengan Petronas pada 2020.
“Sebagaimana yang kita ketahui, Malaysia adalah sebuah Persekutuan yang mengamalkan sistem Federalisme, di mana bidang kuasa telah dibahagikan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Sarawak mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki negeri lain dalam Malaysia, seperti tambahan kepada Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
“Peranan PBB adalah untuk memastikan hak-hak ini terus dihormati dan dipertahankan, selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan haknya, seperti yang sering ditegaskan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dengan kata-kata “Nothing More, Nothing Less.”
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus menuntut hak-hak yang belum direalisasikan di bawah MA63 bagi memastikan Sarawak mendapat layanan yang adil dalam Persekutuan Malaysia.
Selain aspek ekonomi dan politik, beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan belia dan wanita.
Menurutnya, PBB telah menubuhkan Sayap Belia 18-28 sebagai langkah proaktif dalam melahirkan pemimpin muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran global.
Beliau juga mengiktiraf peranan wanita dalam kepimpinan negeri, dengan ramai wanita Sarawak kini menerajui pelbagai sektor penting.
“Para belia dan wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan kita mahu mereka peka terhadap sejarah dan memahami peranan mereka dalam mencorakkan masa depan Sarawak.
“Inilah sebabnya YAB Premier kita sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan bakat,” tegasnya lagi.
Dengan segala usaha yang sedang dan bakal digerakkan, beliau yakin bahawa Perhimpunan Agung ke-16 PBB akan menjadi landasan utama dalam memperkukuhkan perjuangan parti, memperkasakan ekonomi negeri serta memastikan Sarawak terus stabil dan makmur dalam Persekutuan Malaysia.
Oleh Masrin Affirah