
SARIKEI: Perasmian perhiasan Tahun Baharu Cina (TBC) di Taman Layang-Layang menyerlahkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memupuk keharmonian masyarakat serta menceriakan suasana bandar menjelang musim perayaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata sambutan TBC bukan sekadar perayaan kebudayaan, sebaliknya melambangkan permulaan baharu dan harapan.
“Oleh itu, perhiasan yang kita saksikan hari ini yang bertemakan zodiak Tahun Kuda bukan sahaja mencantikkan kawasan Taman Layang-Layang, tetapi turut menyemarakkan suasana perayaan serta mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di bandar Sarikei.


“Dengan ini, saya ingin merakamkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Majlis Daerah Sarikei (MDS) yang telah bertungkus lumus menjayakan perhiasan ini,” katanya ketika berucap di majlis perasmian tersebut, petang semalam.
Tambahnya, usaha dan komitmen seperti ini sangat dihargai kerana ia bukan sahaja menceriakan bandar Sarikei malah turut memberi nilai tambah dari segi pelancongan tempatan dan ekonomi komuniti.
“Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya.
“Semoga tahun baharu ini membawa kesihatan yang baik, kesejahteraan keluarga, kejayaan serta kemakmuran yang berpanjangan kepada kita semua,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi MDS, Konselar Stephen Wong Kie Yong.
Oleh Earl Anek