
KUCHING: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 menyasarkan untuk meluaskan jalinan kerjasama dengan agensi awam dan syarikat swasta termasuk di Sarawak bagi menyediakan peluang kerjaya bernilai tinggi kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak.
Pengerusi PERHEBAT, Datuk Dr Roziah Omar berkata, pelan transformasi itu menjangkakan kolaborasi dengan sekurang-kurangnya 200 agensi dan syarikat swasta merentasi pelbagai industri bernilai tinggi, termasuk tenaga baharu, minyak dan gas, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pertanian moden.

Katanya, inisiatif tersebut berpotensi membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor bernilai tambah tinggi (HGHV) yang sekali gus memangkin pembangunan industri strategik Sarawak, selari dengan aspirasi negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi dan berdaya tahan menjelang 2030.
“Pelan Transformasi ini merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam meningkatkan kemahiran, memperluas peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi demi manfaat kumpulan sasar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) peringkat Sarawak yang dihadiri seramai 69 peserta, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Pada majlis itu, tujuh Usahawan Veteran ATM menerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah keseluruhan RM42,000.
Program PUVET ATM diperluas ke Sarawak buat julung kalinya selepas 12 siri pelaksanaannya di seluruh Malaysia sejak 2023.

Ia merupakan antara bukti komitmen berterusan Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT dalam memperkukuh sosioekonomi veteran ATM.
Tahun ini, PUVET ATM menampilkan pendekatan baharu dengan membawa veteran secara langsung ke lapangan bagi bertemu pengusaha industri dan agensi-agensi sokongan.
Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta memperoleh pengetahuan terkini, memahami amalan terbaik industri serta mengakses pelbagai insentif keusahawanan yang disediakan oleh agensi berkaitan.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Amir Md Noor pula berkata, kehadiran PERHEBAT dalam pasaran kerja bukan sahaja memperkasa institusi itu agar lebih dinamik dan berkesan, tetapi turut membuka lebih banyak ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan berkualiti kepada anggota yang sedang menjalani fasa peralihan.
“Menerusi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035, kami bertekad untuk terus menghasilkan manfaat sosioekonomi yang mampan serta menjamin masa depan yang lebih baik untuk veteran tentera,” ujarnya.

Pelan jangka panjang ini dirangka khusus untuk memperkasakan sosioekonomi dan kesejahteraan bakal pesara serta veteran ATM secara holistik dan mampan melalui tiga fasa pelaksanaan dan empat teras strategi, termasuk pengukuhan dasar, pengkomersialan industri nilai tinggi, serta pemerkasaan governan dan profesionalisme.
Oleh Shikin Mahmud