
PEKAN: Kerajaan sedang memperhalusi untuk mengiktiraf sijil Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 agar ia dapat dimanfaatkan pelatih bagi mendapat tempat di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) mahupun pekerjaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pihaknya telah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran.
“Ini adalah satu ‘credential’ (bukti kelayakan) yang boleh diterima semua pihak, bukan sahaja kerajaan malah untuk masyarakat. (Dengan sijil ini) kita sudah pastikan bahawa pelatih ini sudah didedahkan pelbagai ilmu setelah mereka tamat latihan PLKN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelatih PLKN di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di sini hari ini.

Johari berkata keputusan perbincangan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa yang terdekat.
“Kita sedang berkerja dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan beberapa pihak lain supaya sijil yang dikeluarkan itu ada merit. Kalau tidak ia akan jadi seperti sijil biasa, kita mahukan sijil itu bernilai,” katanya.
Sementara itu, Ya’cob berkata beberapa pelatih PLKN 3.0 telah berjaya untuk menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan akan mulakan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat pada siri akan datang.
“Kalau kita lihat siri lepas, kira-kira 60 peratus daripada mereka yang menyertai PLKN 3.0 memilih untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform, sama ada dalam angkatan tetap mahupun angkatan simpanan,” katanya.
-Bernama