BARU-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah. Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan sidang yang terdiri daripada lapan hakim.
Keputusan penghakiman tersebut bersifat majoriti 8-1 iaitu hanya Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan berbeza. Keputusan itu dilakukan selepas dibenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Dalam permohonan tersebut, kedua-duanya memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri tersebut.
Penghakiman
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya. Ketika membuat penghakiman tersebut, Ketua Hakim Negara menyatakan bahawa “apa-apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia. Dakwaan-dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh kerajaan negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.”
Penjelasan
Pernyataan itu menyatakan dalam petisyen tersebut yang menjadi objek tuntutan atau dicabar bukanlah kedudukan undang-undang syariah di Malaysia secara keseluruhan. Sebaliknya, tuntutan-tuntutan dalam petisyen ini terfokus pada tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan. Hal ini kerana dakwaan-dakwaan petisyen ini secara khusus menyoroti tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang berdasarkan fakta dan hujah dalam petisyen tersebut telah melampaui kekuasaannya.
Hal ini bermakna Badan Perundangan Negeri Kelantan dianggap telah melakukan tindakan atau mengeluarkan undang-undang yang melampaui batas kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pentingnya klarifikasi ini adalah untuk menegaskan tujuan petisyen ini bukan untuk menentang atau mempersoalkan kedudukan undang-undang syariah secara umum, tetapi lebih kepada tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang dianggap tidak sesuai dengan batasan yang ditetapkan oleh undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Dengan demikian, petisyen ini fokus pada aspek mengikut Perlembagaan dan batasan kuasa Badan Perundangan Negeri dalam mengeluarkan undang-undang yang berkaitan dengan hukum Syariah di Malaysia.
Bukan menentang perintah Allah
Begitu juga pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil menurut penghakiman Ketua Hakim Negara bahawa ia “tidak boleh dikatakan menentang Allah, kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh Badan Perundangan Negeri. Jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri/Badan Perundangan Negeri dilihat dari sudut ini, tidak timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.”
Interpretasi
Dalam penjelasan oleh Ketua Hakim Negara juga telah memetakan situasi Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Malaysia. Dalam pelaksanaan Hukuman Takzir, telah dijelaskan bahawa Mahkamah Syariah pada ketika ini hanya melaksanakan hukuman takzir. Hukuman takzir adalah hukuman yang disesuaikan atau dijatuhkan oleh pengadilan tanpa terikat pada ketentuan-ketentuan hukuman yang spesifik dalam undang-undang.
Mahkamah Sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Ini bermakna kedua-duanya, iaitu Mahkamah Syariah mahu pun Mahkamah Sivil, memiliki kuasa untuk menjatuhkan hukuman takzir. Terdapat juga persamaan dalam pelaksanaan Hukuman Takzir yang pada prinsipnya tidak ada perbezaan di antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam hal melaksanakan hukuman takzir. Kedua-duanya dapat menjatuhkan hukuman takzir sebagai bentuk hukuman yang tergantung pada keadaan kes-kes tertentu.
Perbezaan
Namun terdapat juga perbezaan daripada aspek sumber dan prosedur hukuman takzir. Di peringkat Mahkamah Syariah, hukuman takzir yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah bersumberkan pada undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di tingkat negeri dan harus disetujui oleh Badan Perundangan Negeri. Hal ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah terikat pada undang-undang yang berasal dari tingkat negeri.
Sementara di peringkat Mahkamah Sivil sebaliknya, iaitu hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil bersumberkan pada undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di tingkat Persekutuan dan harus disetujui oleh Parlimen dan ini menunjukkan bahawa Mahkamah Sivil terikat pada undang-undang yang berasal daripada peringkat nasional atau Persekutuan.
Justeru, didapati perbezaan utama antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam konteks hukuman takzir terletak pada sumber undang-undang dan prosedur penetapan hukuman tersebut, yang berkaitan dengan peringkat pemerintahan (Negeri atau Persekutuan) yang melaksanakan undang-undang tersebut.
Perkara (4) Undang-undang utama Persekutuan
Dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat Perkara (4) yang menyatakan “Perlembagaan ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”
Kenyataan ini jelas menyatakan keputusan petisyen tersebut sejajar dengan Perkara (4) undang-undang utama Persekutuan (Supreme Law). Begitu juga dengan Perkara (75) berkenaan ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang negeri. Menurut perkara tersebut, “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah (void) setakat yang tidak selaras itu.”
Kesemua ini jelas dan pentingnya memastikan tidak ada percanggahan atau ketidakselarasan ketika membentuk undang-undang negeri.
Bagi bergerak ke depan, ternyata kes Nik Elin sebenarnya membuka ruang yang lebih luas untuk melakukan reformasi terhadap undang-undang syariah agar lebih dinamik dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ternyata keputusan penghakiman ini memberi kesan besar kepada enakmen-enakmen syariah negeri-negeri lain kerana sebenarnya banyak peruntukan undang-undang jenayah negeri mempunyai pertindihan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dan ini boleh dicabar di mahkamah sivil.
Justeru, ada baiknya negeri lain seperti Sarawak melihat semula peruntukan undang-undang syariah negeri Sarawak untuk memastikan tidak ada pertindihan agar tidak dicabar di mahkamah sivil pada masa akan datang.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).