
MIRI: Usaha memperkasa ilmu keusahawanan dalam kalangan wanita terus diperkukuh apabila Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) N75 Senadin mengadakan kunjungan pembelajaran ke kilang pembuatan kek lapis terkemuka, Siti Payung, di sini.
Seramai 30 ahli menyertai lawatan berkenaan yang diketuai Ketua Wanita Cawangan PBB N75 Senadin, Sarimah Buang, bersama ahli dari 11 ranting di bawah cawangan tersebut.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan wakil syarikat, Mohammad Hafidz Rohani, peserta diberi pendedahan mengenai sejarah penubuhan Siti Payung, perkembangan operasi sejak 2009.
Sarimah berkata program seumpama itu bukan sekadar aktiviti lawatan, sebaliknya platform pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan dan keyakinan wanita dalam bidang keusahawanan.
“Wanita hari ini memainkan peranan besar dalam ekonomi komuniti. Melalui lawatan seperti ini, ahli berpeluang menimba ilmu, mempelajari standard industri serta memperkukuh kemahiran bagi memajukan produk tradisi Sarawak seperti kek lapis dan kelupis,” katanya.
Peserta turut diberi peluang menghasilkan kek lapis mereka sendiri, mempelajari teknik penyusunan lapisan yang tepat serta memahami proses penghasilan produk yang konsisten dan berkualiti.
Program itu diakhiri dengan sesi soal jawab, perbincangan mengenai potensi kerjasama komuniti serta penyerahan cenderahati sebagai tanda penghargaan.
Oleh Liong Chai Ling