

JAKARTA: Ratusan penduduk dipindahkan selepas pergerakan tanah akibat hujan selama beberapa hari merosakkan sekurang-kurangnya 114 rumah di Kecamatan Bantargadung di Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat.
Ketua Pusat Data, Penerangan dan Komunikasi Bencana Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Abdul Muhari berkata setakat Jumaat, 70 rumah rosak teruk, 26 rosak sederhana dan 18 rosak ringan.
Beliau berkata kejadian itu menjejaskan kampung Bantargadung dan Bojonggaling, melibatkan 134 isi rumah atau kira-kira 475 orang.
Bimbang akan keselamatan dan keadaan bangunan yang tidak stabil, 120 isi rumah melibatkan 407 orang telah dipindahkan ke lokasi lebih selamat.
“Sembilan lagi rumah kekal berisiko,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Selain kerosakan kediaman, beliau memaklumkan sebuah kemudahan pendidikan dan akses jalan turut rosak.
Abdul Muhari berkata pemimpin wilayah (Bupati) Sukabumi telah mengisytiharkan status respons kecemasan tujuh hari bagi bencana pergerakan bumi dari 4 Mac hingga 10 Mac bagi mempercepat usaha tindak balas dan memudahkan penyelarasan dalam kalangan agensi.
Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Sukabumi bersama BPBD wilayah Jawa Barat dan agensi berkaitan lain, sedang melakukan penilaian pantas dan pengumpulan data terperinci di lokasi terjejas, katanya.
Pos perintah kecemasan juga telah ditubuhkan untuk menyelaras bantuan dan perkhidmatan untuk mangsa yang dipindahkan, tambahnya.
“Pihak berkuasa dan sukarelawan kini berusaha untuk memenuhi keperluan asas penduduk yang dipindahkan, termasuk logistik untuk dapur awam, air bersih, bekalan untuk bayi dan warga emas, serta peralatan tempat tidur.
Beliau menggesa penduduk di kawasan yang terdedah kepada pergerakan tanah untuk sentiasa berwaspada khususnya ketika hujan berterusan serta mematuhi arahan berpindah daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan kemalangan. – Bernama