
SIBU: Seorang lelaki warganegara asing maut selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di salah sebuah hotel di ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sekitar 4.22 pagi tadi, pihak polis menerima maklumat bahawa seorang lelaki warganegara asing telah dibawa ke Hospital Sibu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 27 tahun telah disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu akibat kecederaan serius di bahagian kepala,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat pihak polis telah berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 27 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek turut mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan yang dipercayai berkaitan dengan kejadian tersebut,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kesemua suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek akan direman pada 16 Januari ini di Mahkamah Sibu bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman