SEJAUH manakah tidak ada istilah sebarang kerusi milik parti asal? Baru-baru ini, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing menegaskan hanya rakyat khususnya pengundi di sesuatu konstituensi berhak menentukan kerusi dan calon yang akan bertanding mewakili mereka sama ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).
Maka, kerusi tersebut perlu dikembalikan kepada pengundi yang menentukan calon pilihan mereka. Justeru, persoalan kerusi tradisional tidak perlu dibangkitkan dalam kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan perlu dijadikan formula terbaik menyelesaikan masalah. “Itu pendirian saya dan pasti rakyat juga menyokong kerana mereka tahu siapa (calon) dan parti (GPS) yang patut mewakili mereka untuk lima tahun akan datang,” kata Tiong di media tempatan, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata PDP dari dahulu hingga kini tidak pernah menimbulkan isu perebutan kerusi atau memprotes mahu merebut kerusi walaupun hakikatnya ia adalah kerusi tradisi mereka. “Kami dalam PDP sangat toleran dan menjunjung tinggi prinsip kerjasama kawan dan menghormati semangat setiakawan,” tegas Ahli Parlimen Bintulu yang juga ADUN Dudong itu lagi.
Pilihan dan Isu Pembahagian Kerusi
“Dalam politik, rakyat yang memilih siapa calon dan parti yang mereka suka untuk mewakili mereka,” diulangnya lagi dan mengatakan jika seseorang itu memilih parti lain sebelum pilihan raya maka semua patut menghormati pilihan tersebut. Katanya, isu pembahagian kerusi tidak patut timbul sesama parti sekarang kerana beliau yakin bahawa pemimpin tertinggi parti komponen GPS pasti memiliki formula terbaik dalam menangani isu ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan semua wakil rakyat terutama dalam PDP mesti bekerja keras, komited dan jujur dalam memikul amanah agar rakyat di bawah konstituensi terus yakin memilih mereka untuk penggal seterusnya.
Reaksi
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pula mempersoalkan kenyataan Tiong selaku Presiden PDP. Katanya, mengapa memperbaiki jika ia tidak rosak. Reaksi tersebut dibuat apabila Tiong seolah-olah memberi isyarat agar GPS menghapuskan pembahagian kerusi untuk dipertandingkan dalam pilihan raya berdasarkan parti yang secara tradisional bertanding di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut kenyataan tersebut, Karim menganggap kenyataan Tiong sebagai ‘kenyataan yang sangat kuat’. Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu mengingatkan bahawa GPS yang merupakan gabungan empat parti adalah mantap dan PBB adalah tunjang utama sebenarnya telah mencapai ‘keseimbangan yang baik’ dalam pembahagian kerusi yang tidak memerlukan pengubahsuaian besar.
Gabungan GPS yang terdiri daripada PBB, PDP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) membentuk kuasa politik ampuh yang mampu menjadi kuasa tawar-menawar terhadap Putrajaya. Pertama kali dalam 10 tahun belakangan ini, Sarawak menjadi negeri yang dilihat mempunyai pengaruh yang kuat terhadap apa-apa dasar terutama melibatkan kepentingan Sarawak.
GPS kini menguasai 79 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang di negeri ini apabila hanya memegang dua kerusi melalui DAP dan seorang lagi bebas yang menyokong GPS memegang satu kerusi.
Sebelum pembentukan GPS, komponen tersebut menjadi ahli Barisan Nasional (BN) dan keluar dari gabungan tersebut pada 2018 dan membentuk GPS. Di sinilah GPS menentukan sendiri parti yang mendapat kerusi untuk dipertandingkan dalam pilihan raya negeri dan parlimen, parti yang secara tradisional bertanding di kawasan tersebut.
Penolakan Tegas
Karim turut menyatakan bahawa Tiong mesti ingat bahawa apabila ‘anda merasakan bahawa anda mahu bertanding secara terbuka yang termasuk menceroboh kawasan parti komponen lain dalam GPS, anda juga membuka kawasan halaman anda. Kawasan halaman anda juga terbuka.’
“Jika anda mahu membuka, maka anda mesti pasti sama ada anda boleh bertahan di kawasan anda sendiri,” katanya, sambil berkata “parti anda (PDP) mungkin akan lenyap sepenuhnya jika anda tidak berhati-hati”. Mungkin Tiong sangat terpengaruh dengan apa yang berlaku di bahagian lain dunia. Kita membawa politik sebegitu ke sini untuk kerajaan gabungan dibentuk selepas pilihan raya.
“Kita akan lihat parti mana yang memenangi jumlah kerusi terbanyak, maka ia berhak membentuk kerajaan dan melantik siapa yang patut menjadi Premier Sarawak. Jika itu yang anda mahukan, kita akan lihat. Kita akan lihat tentang itu. Sama ada anda (PDP) boleh bertahan atau tidak,” tegas Karim yang dipetik media tempatan.
Karim juga mengalu-alukan PDP untuk bertanding di kawasan DUN Asajaya miliknya atau ‘kami boleh bertanding di kawasan anda kerana ia adalah permainan terbuka.’ Demikian beliau menganologikan situasi, jika kenyataan Tiong tersebut dibenarkan.
Sebab itu, Karim menjelaskan bahawa parti-parti komponen GPS selama ini mampu bekerjasama dengan baik antara satu sama lain, untuk memastikan kesemua mereka memenangani kerusi dalam pilihan raya negeri atau umum. Sarawak juga merupakan negeri sangat stabil dari segi politik yang menjadikannya dicemburui negeri lain di negara ini dan mempunyai sistem yang sangat baik, justeru beliau menyatakan Tiong sepatutnya membiarkannya sedemikian.
Kenyataan Karim ada rasionalnya lebih-lebih lagi beliau mengakui telah menonton video kenyataan Tiong, termasuk bahagian beliau berkata parti komponen GPS tidak sepatutnya mempunyai sebarang kerusi tradisional.
Kuasa Majlis Tertinggi GPS
Naib Presiden PBB itu juga menegaskan keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi untuk parti-parti komponen ditentukan oleh Majlis Tertinggi GPS. Mana-mana pandangan, jika mahu memperjuangkan dengan cara demikian, ia mesti dibawa ke Majlis Tertinggi GPS agar tidak mecetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan parti-parti komponen lain.
Namun Tiong pula menjelaskan bahawa kenyataannya baru-baru ini mengenai ‘kerusi warisan’ adalah berdasarkan perubahan asas dalam landskap politik moden yang mana konsep kerusi pilihan raya tradisional adalah ketinggalan zaman. Tiong mendakwa kenyataannya telah disalah tafsir oleh media dan pemimpin politik, mengakibatkan kontroversi yang tidak perlu.
Beliau menambah bahawa walaupun terdapat pertanyaan daripada media, tidak perlu untuk beliau memberi respon kepada kenyataan balas yang dibuat oleh Karim. Karim telah memberitahu satu sidang akhbar di Kuching pada Jumaat bahawa jika Tiong tidak lagi percaya pada kerusi warisan, PDP perlu bersedia untuk berdepan dengan rakan gabungan mereka dalam GPS pada pilihan raya akan datang.
“Jika anda (PDP) mahu begitu, maka ini bermakna anda boleh bertanding di kawasan saya, dan kami juga boleh bertanding di kawasan anda. Kerana ia adalah permainan terbuka,” katanya.
Sudah tentu, isu-isu sedemikian lebih wajar dibincangkan dalam majlis tertutup dan tidak perlu diuar-uarkan kepada media. Hal ini kerana akan pasti kenyataan balas akan berlaku seperti ini. Sebagai presiden parti, Tiong perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, agar tidak timbul ‘kongkalikung’ dalam arena politik Sarawak semasa. Namun bagi khalayak politik Sarawak, ini adalah suatu episod politik yang perlu ditafsir seribu makna!
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).