BUCHAREST: Perdana Menteri Romania Nicolae Ciuca mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin dan menjangkakan kerajaan baharu memulakan tugas rasminya “pada hujung minggu ini”, lapor Xinhua.
“Hari ini tiba masanya saya menamatkan tugas saya sebagai perdana menteri Romania. Dengan cara ini… pada peringkat gabungan parti kerajaan, prosedur untuk melaksanakan penggiliran bermula.
“Kami mencadangkan agar kerajaan dibentuk selewat-lewatnya pada Khamis dan dengan cara ini, kami boleh terus menangani isu-isu yang menjadi keutamaan melalui program kerajaan dan untuk setiap perkara yang sepatutnya dibuat kerajaan sesebuah negara,” katanya di Istana Victoria.
Penggiliran itu sepatutnya berlaku pada 25 Mei tetapi mogok guru melengahkan proses berkenaan.
Ciuca telah berjanji untuk menyelesaikan konflik buruh sebelum meletak jawatan.
Kesatuan sekerja Romania pada Isnin memutuskan untuk menangguhkan mogok umum mereka selepas tawaran terbaru kerajaan untuk menaikkan gaji guru.
Mengikut perjanjian yang dicapai antara ahli gabungan parti pemerintah yang mengangkat sumpah pada November 2021, negara itu akan menggilirkan perdana menterinya setiap 18 bulan sebelum pilihan raya parlimen akan datang yang dijangka pada Disember 2024.
Ciuca dari Parti Liberal Nasional akan menyerahkan jawatan itu kepada presiden Parti Sosial Demokrat, Marcel Ciolacu. – Bernama-Xinhua