
KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia terus berkembang pada suku pertama 2026 dengan peningkatan 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, manakala import naik 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan RM63.22 bilion — tertinggi bagi suku pertama setakat ini.
MITI memaklumkan pertumbuhan eksport didorong permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E), peralatan optik serta barangan perlombongan.
Eksport ke rakan dagang utama seperti China, Amerika Syarikat dan Taiwan mencatat pertumbuhan dua digit, manakala pasaran ASEAN berkembang sederhana.
Bagi Mac 2026, perdagangan meningkat 9.3 peratus kepada RM272.95 bilion, dengan eksport naik 8.3 peratus dan import 10.4 peratus, menghasilkan lebihan dagangan RM24.55 bilion untuk bulan ke-71 berturut-turut sejak Mei 2020.
Walaupun prestasi kekal kukuh, MITI memaklumkan ketegangan geopolitik global terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan kos logistik. Prospek perdagangan dijangka sederhana, dengan WTO mengunjurkan pertumbuhan global 1.9 peratus pada 2026.
MITI dan MATRADE akan terus memantau perkembangan global, manakala pengeksport digalakkan memanfaatkan FTA serta meneroka pasaran baharu bagi mengukuhkan daya tahan. – Bernama