CANDU merupakan salah satu barang dagangan yang menguntungkan pada era penjajahan kuasa Barat di Asia. Pada asalnya candu ini adalah satu bahan untuk kegunaan dalam bidang perubatan. Namun demikian, pada sekitar abad ke-18, penggunaan candu mula berubah sebagai bahan hisapan. Perubahan penggunaan candu ini membawa kesan negatif kepada sosial dan ekonomi di negara-negara tertentu terutamannya China.
Namun demikian keuntungan perdagangan candu tidak menghiraukan masalah ini. Candu terus didagangkan oleh pihak Barat dan pedagang-pedagang tempatan di Asia. Bagaimanapun, terdapat bantahan yang cukup kuat atas perdagangan ini di Eropah tetapi keuntungan mengatasi usaha pengharaman perdagangan dan pengisapan candu ini.
Akhirnya satu persidangan di The Hague, Belanda pada 1912 telah bersetuju untuk mengawal perdagangan dan penggunaan dadah termasuk candu. Walaupun persidangan ini tidak mengharamkan candu tetapi mereka menjadi badan pemantau untuk mengawal penggunaan candu di peringkat dunia.
KEUNTUNGAN
Di Sarawak, candu telahpun bertapak sebelum kedatangan Brooke. Pelombong-pelombong dari Sambas membawa dan memperkenalkan candu ke Sarawak. Apabila James Brooke bertapak di Sarawak, beliau tidak mengharamkan aktiviti ini tetapi cuba mengawal dan menguasai aktiviti perdagangan candu. Ini kerana cukai daripada perdagangan ini amat menguntungkan. Hal ini membawa kepada ketegangan antara kerajaan Brooke dengan orang Cina di Bau. Akhirnya tercetus pemberontakan pada 1857.
Walaupun kongsi yang menguasai perdagangan ini berjaya ditundukkan tetapi kerajaan Brooke menggunakan peluang itu untuk mengawal perdagangan candu. Malah candu menjadi salah satu barang dagangan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi kerajaan Brooke ketika itu.
Bekalan candu ini pula dibawa dari Singapura ke Sarawak. Dari segi statistiknya, candu menjadi barang dagangan penting dalam import Sarawak. Pada 1903 misalnya import candu menduduki tangga keempat terbanyak selepas beras, pakaian dan tembakau. Untuk menjual candu ini di pasaran Sarawak, kerajaan Brooke mengeluarkan lesen penjualan yang dikenali sebagai Opium Farm yang mana penjualnya perlu memohon dan membayaran sewa kepada kerajaan.
Tindakan memperkenalkan Opium Farm ini merupakan salah satu usaha mengawal perdagangan dan penjualan candu di Sarawak. Tambahan daripada itu, beberapa peraturan diwujudkan. Menurut Paderi James Hoover yang menghadiri Persidangan Methodist di Singapura pada 1925 menyatakan bahawa antara peraturan yang dikeluarkan adalah mendaftar penghisap candu dan menghapuskan sarang-sarang penghisap candu. Candu hanya boleh digunakan di rumah masing-masing.
PENYELUDUPAN
Oleh kerana candu merupakan barang yang menguntungkan, terdapat usaha-usaha pihak tertentu untuk menyeludup candu masuk ke Sarawak. Pihak kerajaan Brooke memandang serius isu penyeludupan ini dan menangkap sesiapa sahaja yang cuba menyeludup candu.
Hal ini terbukti dengan tindakan kerajaan menangkap dan membicarakan pesalah yang menyeludup candu. Mereka yang ditangkap ini akan dibicara seperti berlaku pada 1918 apabila Ho Ah Teng telah didenda sebanyak $3,000 dan candunya telah dirampas yang bernilai $2,736.
Penyeludupan candu ini bukan satu perkara baharu, dan telah dikesan oleh James Brooke sejak Julai 1856 semasa lawatan beliau ke pedalaman Sarawak. Beliau menyatakan bahawa candu dari Singapura akan dibawa ke Pulau Natuna. Dari pulau tersebut akan diseludup ke Sarawak dan wilayah jajahan Belanda di Kalimantan. James Brooke menyatakan bahawa aktiviti ini telah dijalankan oleh pihak kongsi. Beliau telah mendenda kongsi ini atas perbuatan mereka.
Sarawak juga menjadi pusat penyeludupan candu ke Brunei. Keadaan ini berlaku kerana harga candu yang lebih murah menyebabkan penyeludupan ini berlaku. Penyeludupan candu dari Sarawak bukan sahaja setakat ke Brunei tetapi juga ke Labuan. Di Miri, pada September 1919 misalnya penyeludup candu telah diberkas kerana cuba menyeludup candu ke Labuan.
Ganjaran juga diberi kepada sesiapa yang dapat mengesan aktiviti penyeludupan ini. Dalam kes penyeludupan di Miri ini, C. P. Eng Wah telah menerima ganjaran atas usahanya mengesan kegiatan penyeludupan candu ini. Penyeludupan candu juga berlaku di sempadan Sambas dan Sarawak. Dilaporkan pada Februari 1919, penyeludup candu dari Sarawak telah berjaya diberkas oleh kerajaan Belanda dan ditahan di penjara, Pontianak.
TANGKAPAN
Kerajaan Brooke juga membuat kawalan rapi atas sebarang usaha melanggar peraturan tentang candu. Setiap kapal yang tiba di Sarawak akan diperiksa agar tidak berlaku penyeludupan candu ke Sarawak. Hal ini boleh dilihat dengan beberapa kes tangkapan ke atas penumpang kapal yang melakukan kesalahan menyeludup candu ke Sarawak.
Salah satu kesnya adalah pada Februari 1919 apabila salah seorang penumpang di kapal S. S. Flevo yang berlabuh di Sungai Rejang telah ditangkap kerana memiliki candu bernilai $900. Penumpang tersebut telah dipenjara kerana gagal membayar denda yang dikenakan. Selain itu terdapat juga tindakan mencuri candu oleh penagih candu yang menunjukkan candu sebagai satu perkara yang berharga.
Pada Januari 1906 di Lawas terdapat aduan oleh penghisap candu terhadap candu yang dijual mempunyai mutu yang rendah. Candu juga membawa kekacauan di Miri. Kejadian kekacauan ini berlaku pada Februari 1919 apabila simpanan candu berkurangan kerana kapal Adeh yang sepatutnya membawa candu tidak tiba pada masanya. Kekacauan ini dapat diredakan oleh pihak polis.
PENCEGAHAN
Dalam usaha mengurangkan pengisap candu, pihak kerajaan Brooke juga mula melarang pendaftaran penghisap candu baharu pada 1920-an. Hanya yang memerlukan candu untuk tujuan perubatan sahaja dibenarkan untuk mendaftar. Selain itu usaha juga dibuat untuk merawat penagih-penagih candu ini di hospital. Mereka yang secara sukarela ingin mendapat rawatan tidak akan dikenakan bayaran untuk rawatan tersebut.
Secara umumnya candu mempunyai kisah tersendiri dalam sejarah Sarawak. Ia menjadi benda yang menguntungkan tetapi merosakkan kehidupan masyarakat yang terlibat dengannya. Oleh itu terdapat usaha-usaha mengawal dan mengurangkan penagihan candu dalam kalangan penduduk Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).