SALAH satu tamadun besar dunia pada masa lepas dan terus gah pada hari ini ialah Tamadun China. Tamadun China ini yang berpusat di Hwang He telah membawa pelbagai kegemilangan kepada China.
Keagongan tamadun ini dirasai hampir di seluruh dunia dengan pencapaian dalam sistem pentadbiran, sains dan teknologi, penciptaan, budaya dan falsafah serta nilai-nilai moral. Hal ini juga mempengaruhi kawasan sekitar tamadun ini dalam lingkungan jalan perdagangan dan diplomasinya.
Dalam hal ini boleh kita lihat bagaimana pula hubungan tamadun ini dengan Sarawak. Persoalannya bilakah China mempunyai hubungan dengan Sarawak? Adakah Sarawak dilihat sebagai sebahagian daripada kawasan yang penting bagi Tamadun China?
Bukti Arkeologi
Sudah semestinya kalau ditinjau tentang tarikh bila hubungan telah terjalin sukar dikesan. Manakala bukti arkeologi jelas menunjukkan adanya hubungan dagangan ini.
Ini kerana Sarawak khususnya, dan Pulau Borneo amnya, mempunyai hasil hutan yang diminati oleh perdagangan China. Hasil hutan yang diminati oleh pedagang China ini adalah sarang burung, lilin lebah, rotan, kapur barus, bulu burung dan batu berharga.
Penemuan kawasan peleburan bijih besi di Bongkisam, Santubong boleh dikaitkan dengan pemintaan logam tersebut dari China. Manakala jumpaan barang dagangan seperti serpihan seramik, manik, duit syilling dan barangan perak menjadi barangan tukaran dari China untuk mendapatkan barang-barang dari Sarawak.
Selain Santubong, beberapa kawasan lain di Sarawak khususnya kawasan antara Kuching hingga Simanggang menjadi tumpuan juga oleh perdagang China. Hal ini dibuktikan dengan jumpaan arkeologi.
Kajian arkeologi dilakukan oleh Lucas Chin dan pasukan Muzium Sarawak di Ensika bahagian kiri Sungai Sebangan salah satu cabang daripada Sungai Sadong menjumpai pelbagai barang dagangan daripada China.
Antara yang dijumpai ialah 101 duit syilling dari beberapa dinasti di China. Daripada jumlah ini yang hanya dapat dikenal pasti ialah tujuh duit syilling ini daripada Dinasti T’ang, 26 duit syilling Dinasti Sung Utara, sembilan duit syilling daripada Dinasti Sung Selatan dan enam duit syilling pula daripada Dinasti Ming. Selain daripada itu dijumpai juga seramik Yueh daripada China.
Jumpaan di Gedong pula menjumpai dua duit syilling dari Dinasti T’ang. Di Nanga Kalaka pula dijumpai seramik Yueh. Di Bukit Sandong pula dijumpai seramik China. Jumpaan-jumpaan ini membuktikan lagi Sarawak terdedah dengan pengaruh daripada tamadun besar dunia ini.
Kebudayaan Peribumi
Penduduk tempatan pula menjadi pengguna barangan dari luar termasuk barang-barang dari Tamadun China. Tembikar misalnya menjadi barang mewah penting bagi masyarakat peribumi pada masa lepas. Ia bukan sahaja menjadi barang hiasan atau menyimpan barang tetapi lambang kemewahan.
Di pedalaman Sarawak misalnya beberapa penduduk masih menyimpan tembikar besar seperti tembikar Martaban. Tembikar Martaban ini merupakan tembikar buatan daripada selatan China dari Dinasti T’ang.
Kajian dilakukan ke atas seramik milik masyarakat Melanau di Mukah misalnya memberi tahu kita bahawa seramik-seramik ini dikenal pasti dari abad ke-15 atau lewat lagi. Ia dikatakan celadon dari Dinasti Ming dan Dinasti Qing.
Lebih awal daripada itu jumpaan seramik yang dijumpai di beberapa kawasan pengkebumian di Gua Niah. Seramik dari China ini dikatakan bertarikh abad ke tujuh dan abad ke lapan. Hal ini menarik kerana Gua Niah juga merupakan kawasan tumpuan burung layang-layang ini untuk bersarang. Sarang burung ini juga menjadi barang dagangan yang diminati oleh pedagang China. Sarang burung ini masih menjadi barangan eksport penting dalam hubungan antara Sarawak dengan China pada hari ini.
Dalam hal ini timbul persoalan adakah barang yang dijumpai ini datang terus dari China atau datang secara tidak langsung dari pedagang asing lain? Menjawab soalan ini perlu penelitian mendalam tentang bagaimana jumpaan ini memberi bukti bahawa Sarawak adalah sebahagian daripada kawasan penting untuk pedagang-pedagang China.
Pedagang-pedagang China
Kembali kepada persoalan tadi, kita boleh melihat hubungan China dengan Pulau Borneo. Hal ini boleh dilihat dengan catatan orang asing tentang pedagang-pedagang China ke pulau ini.
Catatan China semasa Dinasti Ming tentang perdagangan di Poni antara bukti bertulis yang menjawab persoalan ini. Poni sebuah pusat perdagangan dikaitkan dengan dua kawasan di utara Borneo. Setengah pendapat awal mengatakan ia adalah Brunei. Pendapat terbaharu pula menyatakan Poni adalah Santubong. Poni dikatakan sebagai sebuah pusat perdagangan yang mengumpul hasil di utara Borneo seperti kapur barus, lilin dan kulit kura-kura yang ditukar dengan barangan China seperti emas, perak, sutera, manik dan seramik.
Sementara itu pedagang Eropah yang mula berdagang dengan Pulau Borneo pada abad ke 16 menyatakan bahawa pedagang China sebagai pesaing utama mereka. Dalam satu kenyataan dibuat oleh pedagang Belanda, Van Noort pada tahun 1600 menyatakan Belanda gagal menawan pasaran kain di Borneo kerana kain linen daripada China mendapat tempat dalam kalangan penduduk di Borneo.
Kapten Beeckman menyatakan pada tahun 1713 bahawa pedagang China telah menguasai perdagangan barang-barang di Banjermassin. Seorang pemerhati bernama Roggewein menyatakan pada tahun 1721 bahawa barangan China (termasuk Jepun) seperti sutera, chintz dan belacu mendominasi barang dagangan di Borneo.
Perkembangan perdagangan China di Borneo ini membawa usaha menyekatnya oleh Belanda. Manakala dasar tutup pintu Dinasti Qing melemahkan lagi jaringan perdagangan ini. Akhirnya perdagangan ini beransur-ansur berkurangan selepas kuasa Barat mendominasi perdagangan di Borneo. Kemunculan Singapura sebagai pelabuhan bebas pada abad ke-19 menjadi alternatif kepada penduduk Sarawak untuk berdagang terus dengan kuasa Barat.
Perkembangan ini membawa kepada hubungan dagang China dan Sarawak pada tahap perlahan. Manakala Raja Brooke mula mengubah dasar perdagangan Sarawak kepada orientasi lebih kepada negara Barat.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.