ENGKILILI: Pihak berwajib di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) diminta agar mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf sistem perparitan di sepanjang Jalan Tanjung Lipat ke Lidong, Skrang di Engkilili.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan tersebut adalah amat penting memandangkan kawasan berkenaan merupakan kawasan berisiko yang kerap berlakunya bencana banjir setiap kali musim tengkujuh atau hujan lebat.
“Satu minggu ini adalah merupakan satu keadaan yang begitu buruk bagi kawasan kita di Engkilili dimana ia berlaku sepanjang tahun, kalau hari hujan memang banjir.
“Saya tengok tadi ini adalah disebabkan masalah perparitan, dan oleh itu saya memohon kepada pihak kerajaan khasnya yang terlibat di SADA agar mempercepatkan pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan di sini sepertimana yang telah diluluskan menerusi SADA sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan bantuan sebanyak 266 pek makanan kering kepada penduduk di lima rumah panjang dan sebuah sekolah yang melibatkan seramai 73 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas sejak Sabtu lepas di kawasan DUN Engkilili, di sini hari ini.
Antara rumah panjang yang terlibat dalam penyerahan bantuan mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tabut; Rumah Jangin Sarie Kejemut; Rumah Landan; Rumah Jerukan; Rumah Harry dan Rumah Karin di Tabut, Skrang.
Rayong berkata, tiada sebab perlaksanaan projek tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan kadar segera memandangkan peruntukan bagi projek tersebut telah diluluskan sebelum ini.
“Peruntukan sememangnya sudah ada daripada SADA menerusi tiga fasa, jadi saya mohon agar ia dipercepatkan selepas ini supaya masalah banjir di sini dapat diselesaikan dengan baik untuk manfaat penduduk,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Desem Samuel; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abdul Shamat Kassim; Ketua Balai Polis Skrang Sarjan Mohd Suffian Abdullah dan Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf.
Oleh ADI SAFARMAN