BINTULU: Sarawak mempercepat proses vaksinasi dengan mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini termasuk dengan membuka pusat vaksinasi di kawasan perindustrian untuk memastikan pekerja industri tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin.
“Kita telah diberikan kebenaran untuk membuka pusat vaksinasi di kawasan perindustrian kerana kita tidak mahu pekerja syarikat yang beroperasi tidak diberikan suntikan vaksin disebabkan beberapa masalah seperti tidak dapat datang ke tempat pusat vaksinasi.
“Jadi, kita telah membuat keputusan untuk membuka pusat vaksinasi di kawasan mereka bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Industri di Press Metal Sdn Bhd, Taman Perindustrian Samalaju semalam.
Tambahnya, lebih 6,000 pekerja Press Metal akan mendapat manfaat dengan pembukaan pusat vaksinasi di syarikat itu.
“Sebaik proses vaksinasi pekerja mereka selesai, Press Metal boleh memberi keizinan kepada syarikat-syarikat lain untuk menggunakan PPV ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, satu lagi pusat vaksin di Bintulu akan diwujudkan untuk syarikat-syarikat minyak dan gas.
“Kita akan wujudkan satu lagi pusat vaksinasi di kawasan Kidurong di sini kerana mempunyai beberapa syarikat minyak dan gas serta kontraktor-kontraktor mereka yang beroperasi di sana di mana sistem dan prosesnya adalah serupa dengan pusat vaksinasi di Samalaju.
“Ini adalah untuk cara kita memberi kemudahan dan mempercepat vaksinasi kerana matlamat kita adalah 80 peratus rakyat Sarawak sudah diberikan suntikan vaksin menjelang Ogos ini,” ujarnya.
Turut hadir, dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Oleh CAROLYNE UTIH