Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Perbincangan FIR Malaysia-Singapura capai kemajuan – PM Anwar  
  • SEMASA

Perbincangan FIR Malaysia-Singapura capai kemajuan – PM Anwar  

Utusan Sarawak 59 mins ago
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), bersalaman dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong (kanan), pada sidang media bersama sempena lawatan kerja sehari Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 di The Ritz-Carlton, Millenia, hari ini. Foto Bernama

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura mencapai persefahaman penting dalam perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR), dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebarang pengaturan pada masa depan mesti memastikan pergerakan trafik udara berjalan lancar tanpa halangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mengiktiraf keperluan Singapura untuk aliran trafik udara yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar, manakala Malaysia juga memerlukan pergerakan penerbangan bebas ke Sabah dan Sarawak.

“Kita mengakui keperluan untuk menerima hakikat bahawa kita memerlukan aliran (selamat dan efisien) ke Changi dan Seletar, sama seperti kita memerlukan aliran yang efisien ke timur, ke Sabah dan Sarawak.

“Apa juga susunannya, ia tidak seharusnya menjejaskan pergerakan bebas trafik udara. Jika kita bersetuju dengan prinsip itu, saya fikir kita boleh bergerak ke hadapan dengan lebih pasti,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong selepas sesi Pemukiman Pemimpin Tahunan ke-12, hari ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri)bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong (kanan) menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian Pesefahaman (MOU) antara Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke (dua, kanan),dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Jeffrey Siow (dua, kanan), pada lawatan kerja sehari Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12, di The Ritz-Carlton, Millenia hari ini. Foto Bernama

Anwar berkata penglibatan berterusan di peringkat kepimpinan dan kementerian telah membawa kemajuan nyata dalam usaha menyelesaikan isu yang tertangguh sekian lama, sambil menambah bahawa perbincangan berterusan ini amat penting dalam membawa kedua-dua negara lebih hampir kepada penyelesaian muktamad beberapa isu yang masih belum diselesaikan.

Mengenai isu sempadan maritim, Anwar berkata Malaysia dan Singapura perlu berusaha ke arah penyelesaian secara baik, sambil menegaskan bahawa kedua-dua negara harus terus mencapai kemajuan.

Beliau berkata pendirian itu telah disampaikan dengan jelas kepada rakan sejawatnya dari Singapura, serta kepada anggota Kabinet Malaysia dan pegawai yang terlibat dalam perbincangan tersebut, sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara secara umumnya selaras dalam isu serantau dan perdagangan yang lebih luas.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang bersama ketika lawatan kerja sehari Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12, di The Ritz-Carlton, Millenia hari ini. Foto Bernama

“Saya akui, ia lebih kompleks, tetapi jika terdapat komitmen jelas untuk cuba menyelesaikannya, saya yakin kita boleh mencapai kemajuan.

“Dan selain hanya mengiktiraf bahawa ia satu masalah – masalah kompleks – pendirian saya jelas. Saya telah memberitahu Perdana Menteri Lawrence, rakan-rakan saya dalam Kabinet, dan pegawai bahawa kita mesti berusaha ke arah penyelesaian secara baik.

“Walaupun tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya ada kemajuan,” katanya sambil menambah bahawa kerumitan isu itu tidak seharusnya menghalang kedua-dua pihak daripada bergerak ke hadapan secara konstruktif.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia berharap hubungan uniknya dengan Singapura terus diperkukuh, bukan sahaja dalam hubungan diplomatik tetapi juga dalam bidang ekonomi, perdagangan, kebudayaan dan pendidikan.

Anwar diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa lawatan kerja sehari itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi rasmi berkenaan.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: MCMC siasat 52 aduan terhadap pembaca berita Semenanjung didakwa hina rakyat Sabah, Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.