
SARATOK: Perbincangan secara bersemuka merupakan pendekatan paling berkesan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keutamaan diberikan kepada sesi turun padang dan pertemuan langsung bersama penduduk bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat difahami secara menyeluruh.
“Perbincangan secara bersemuka amat penting dalam usaha mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Melalui pendekatan ini, wakil rakyat dapat memahami keperluan sebenar penduduk serta mengambil tindakan yang lebih berkesan,” katanya.

Mohamad Duri berkata sesi perjumpaan yang diadakan membolehkan setiap isu dan keperluan masyarakat dikenal pasti sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa atau agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menegaskan bahawa Pusat Khidmat ADUN Kalaka sentiasa terbuka untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan atau ingin mengemukakan aduan serta cadangan.
“Alhamdulillah, saya telah mengadakan beberapa perjumpaan secara bersemuka bagi mengenal pasti masalah rakyat di DUN Kalaka dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.
Mohamad Duri menambah bahawa komitmen untuk terus mendekati penduduk akan diteruskan bagi memastikan setiap permasalahan dapat ditangani secara cekap demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman