BARU-baru ini ada cadangan daripada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.
Beliau dikenali sebagai Tok Mat memberikan idea bahawa perlunya Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cadangan ini dikemukakan dalam pertemuan bersama pemimpin BN di Sabah.
Rasional Perjanjian Malaysia Baharu tersebut menurut beliau, “perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia.”
Hal ini berlaku kerana wacana, perbincangan, polemik dan forum mengenainya terus berterusan seolah-olah tidak ada kesudahan. Berdasarkan rundingan dan persefahaman yang berlaku sekarang persis sebuah persefahaman utuh dan persetujuan yang ampuh sukar diharapkan.
Maka, perlu jalan keluar dan bergerak ke hadapan agar masa depan yang lebih baik dan kepentingan bersama.
Perubahan masa selepas 59 tahun kian berlalu. Zaman Dasar Ekonomi Baru telah beredar dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional. Semangat Wawasan 2020 kini tinggal sejarah apabila gagal dicapai berikutan berlakunya kucupan ekonomi global memberi kesan prestasi pertumbuhan ekonomi yang diharapkan berterusan.
Kini Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2039 pula membina arah masa depan negara. Pun begitu, impak Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap Sabah dan Sarawak kurang menitis terhadap pembangunan masyarakat negeri tersebut yang perlu dasar persekutuan yang lebih baik.
Pembentukan kelas menengah di Sabah dan Sarawak pula dilihat agak perlahan khususnya dalam sektor ekonomi dan pembangunan. Sebaliknya, kelas menengah di sini bergantung kepada majoriti golongan profesional yang berada dalam kelompok institusi pengajian tinggi tempatan. Kelas menengah Bumiputera yang ada masih lagi sekitar 20 peratus pula berada di bandar-bandar utama.
Perubahan Zaman
Semangat dan aspirasi pula pelbagai dan bergantung kepada konteks keperluan yang berbeza-beza. Malaysia mengalami pelbagai perubahan walaupun tahap perubahan tersebut pula bergantung situasi tempat, masyarakat dan tahap pelaksanaan dasar.
Yang penting juga, ialah tahap pelaksanaan dan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963. Bagi menghadapi masa hadapan yang lebih mencabar dan perubahan yang tidak dapat dijangka secara tepat, maka perlu melihat masa depan dengan kepelbagaian kemungkinan.
Cadangan Tok Mat ialah perlu ada Perjanjian Malaysia Baharu namun mestilah mengiktiraf hak-hak yang menjadi asas kepada Sabah termasuk Sarawak dan usaha mengembalikannya juga harus sesuai dengan semangat pembentukan Malaysia serta kepentingan masa depan bersama.
Terdapat unsur memberikan dimensi baharu kepada sistem federalisme kita. Aspek penurunan atau pengagihan daripada pemusatan kuasa di pusat perlu menjadi kunci utama. Apabila ini berlaku di peringkat wilayah dan negeri maka ini dapat mengukuhkan Persekutuan Malaysia lebih baik.
Inilah idealisme Tok Mat selain mencadangkan dalam Perjanjian Malaysia Baharu pimpinan kerajaan khususnya di Sabah perlu memberikan idea dan rancangan terhadap potensi ekonomi untuk digerakkan bagi memastikan iltizam kepemimpinan parti membawa Sabah melangkah lebih ke hadapan bagi membentuk kuasa baharu ekonomi dalam konteks negara dimanfaatkan.
Rasional Perubahan
Sebenarnya cadangan membuat satu perjanjian baharu dilihat boleh membuka peluang dan ruang bagi Sarawak menuntut serta menambah baik hak-hak negeri itu.
Cadangan tersebut wajar dibincangkan dan tidak seharusnya ditolak bulat-bulat terutamanya dalam negara demokrasi yang meraikan kepelbagaian pendapat.
Berdasarkan perjanjian baharu itu juga pelbagai isu serta cadangan berkaitan Sarawak seperti penambahan kerusi parlimen boleh menjadi kenyataan. Yang penting perlu diterima hakikat bahawa perjanjian baharu satu bentuk tambahan kepada Perjanjian Malaysia 1963 untuk menambahbaik dan bukannya untuk menurunkan tuntutan Sarawak misalnya.
Maka, perjanjian tersebut bukanlah Perjanjian Malaysia Baharu, tetapi perjanjian baharu yang dijadikan penguat kepada tuntutan MA63.
Perkara-perkara yang tidak dilaksanakan, tidak diterokai secara mendalam yang sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 perlu dimasukan dalam perjanjian tambahan.
Hal ini bermakna Perjanjian Malaysia masih lagi ada tetapi hanya ditambah bagi memastikan pengisian yang lebih ampuh dan relevan dengan situasi dan perubahan zaman masa kini.
Sesuai sebagai perjanjian tambahan untuk mengukuhkan Perjanjian Malaysia 1963 sedia ada, maka boleh dimasukkan sebagai perkara hasil semakan Perjanjian Malaysia terdahulu yang perlu diadakan setiap 10 tahun berdasarkan persetujuan asal perjanjian tersebut.
Ini pernah diakui oleh veteran politik seperti mendiang Datuk Amar James Wong, Allahyarham Tan Sri Abang Ahmad Urai dan sejarawan akademik Suffian Mansor iaitu Ketua Program Sejarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Apabila terdapat perjanjian tambahan untuk mengukuhkan lagi Perjanjian Malaysia ini menjadi tawaran baru yang lebih baik untuk Sabah dan Sarawak. Umpama rumah lama yang dimiliki dan menjadi hak warisan.
Selepas beberapa dekad dan generasi ia perlu diperkukuh dengan membina rumah lebih besar dan lebih selesa sesuai dengan persekitaran baru. Namun tanah dan rumah tersebut tetap menjadi pemilik sah empunya rumah.
Perjanjian Malaysia 1963
Yang penting perjanjian Malaysia 1963 masih perlu kekal dan dipertahankan. Hal ini kerana tanpa perjanjian Malaysia 1963 tidak ada Malaysia. Negara Malaysia yang ada pada hari ini adalah hasil daripada perjanjian tersebut. Malah perjanjian ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, cadangan kononnya ada keperluan mengadakan perjanjian Malaysia baru untuk menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 adalah tidak relevan. Yang relevan ialah perjanjian baru yang boleh menjadi tambahan untuk menampung apa-apa kekurangan sekiranya ada dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia bukan sahaja menampung kelompangan malah menjadi pendesak agar pelaksanaan MA63 perlu ada jadual pelaksanaan yang jelas. Sudah tentu idea untuk penggiliran Perdana Menteri misalnya boleh dimasukkan dalam perjanjian baharu yang menambahkan kekuatan kepada MA 63.
Begitu juga Dasar Ekonomi Baru yang pernah diperkenalkan pada 1973, namun impak dan limpahan terhadap Sabah dan Sarawak sangat minimum. Hal ini kerana pada awal tahun-tahun tersebut Sarawak masih terbelenggu dengan isu keselamatan seperti ancaman komunis dan sebagainya telah merencatkan perancangan dan fokus terhadap impak ekonomi.
Kesemua ini memerlukan perjanjian tambahan untuk memastikan komitmen pemimpin lama dan baharu akan dapat membawa impak lebih besar kepada Sabah dan Sarawak tanpa perlu menggantikan Perjanjian Malaysia 1963.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)