Perbadanan Perhutanan Sarawak anjur Persidangan Pemuliharaan Malaysia 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan menyempurnakan perasmian Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2.0 2026 di Kuching yang menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam usaha memelihara biodiversiti dan menggalakkan pembangunan mampan. Foto UKAS.

KUCHING: Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2.0 2026 bermula secara rasmi di sebuah hotel di sini dengan menghimpunkan agensi kerajaan, pengamal pemuliharaan, penyelidik, institusi akademik, wakil industri serta rakan pembangunan bagi memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti secara mampan.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bertemakan ‘Memperkasa Pemuliharaan Melalui Ekonomi Hijau’, persidangan itu memberi tumpuan kepada lima bidang strategik iaitu pemuliharaan dan penggunaan lestari biodiversiti, ekonomi kitaran, pelaksanaan pemuliharaan, perubahan iklim dan alam semula jadi serta pembiayaan pemuliharaan.

Dalam ucapannya, Awang Tengah berkata, pemuliharaan bukan sekadar usaha melindungi alam sekitar, malah merupakan pelaburan terhadap modal semula jadi Sarawak yang menyokong keselamatan sumber air, pengeluaran makanan, tenaga boleh diperbaharui, daya tahan iklim, pelancongan mampan, penyelidikan saintifik dan peluang ekonomi baharu.

Menurut beliau, pemuliharaan biodiversiti kekal sebagai antara tonggak utama agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang mengintegrasikan aspek kelestarian dalam pelbagai sektor pembangunan.

Beliau berkata, Sarawak kini mempunyai Hutan Simpan Kekal seluas hampir empat juta hektar yang disokong oleh 71 taman negara, rizab alam semula jadi dan santuari hidupan liar meliputi sekitar 2.1 juta hektar kawasan daratan dan marin.

Katanya, kerajaan negeri kekal komited memperluaskan kawasan perlindungan daratan kepada lebih sejuta hektar.

Beliau turut berkata, kejayaan pemuliharaan Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Selain itu, Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN, manakala Geopark Delta Sarawak menerima pengiktirafan sebagai Geopark Global UNESCO.

Menurut beliau, komitmen tersebut diperkukuhkan lagi apabila Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Rizab Alam Semula Jadi Gambut Bandar Terlindung Terbesar di Malaysia.

Persidangan MCC 2026 bertujuan menterjemahkan hasil penyelidikan dan dialog strategik kepada tindakan yang lebih berkesan, memperkukuh kerjasama pelbagai pihak serta menghasilkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan dalam usaha memelihara biodiversiti negara.