
KUCHING: Musim perayaan seharusnya menjadi milik semua, tanpa ada yang tercicir atau dilupakan kata Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, ketika menyantuni penghuni rumah Persatuan Kesihatan Mental Sarawak Cawangan Kuching dalam satu lawatan penuh bermakna pagi tadi.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dalam suasana santai dan mesra, Dato Wee meluangkan masa berinteraksi dengan para penghuni, menyampaikan angpau serta menikmati makan tengah hari bersama mereka.
“Perayaan adalah tentang kebersamaan dan kegembiraan. Kita mahu semua orang merasai bahawa mereka dihargai dan tidak pernah dilupakan,” katanya dalam kenyataan.

Dato Wee yang telah berkhidmat sebagai penasihat kepada persatuan itu selama 27 tahun berkata, kehadiran dan sentuhan kemanusiaan memberi impak besar kepada kesejahteraan emosi penghuni.
“Kadang-kadang yang mereka perlukan bukan sekadar bantuan material, tetapi perhatian, sokongan dan rasa diterima dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa, kakitangan dan sukarelawan yang komited memastikan kebajikan serta proses pemulihan penghuni berjalan dengan baik.
Ahli Majlis Aaron Tay juga hadir mengiringi lawatan tersebut.