
BINTANGOR: Perayaan Kuih Bulan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Tak dihiasi dengan sinar tradisi dan semangat kekeluargaan, sekali gus menyerlahkan usaha sekolah memupuk nilai budaya dan perpaduan dalam kalangan murid serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata beliau amat berbesar hati dapat bersama warga sekolah dalam sambutan penuh makna budaya itu.
“Perayaan Kuih Bulan melambangkan kebersamaan, keharmonian dan pewarisan budaya, sekali gus membolehkan semua untuk merasai kehangatan keluarga dan sekolah pada malam bulan purnama ini.
“Sambutan ini bukan hanya membawa kegembiraan, tetapi turut menyampaikan makna lebih mendalam mengenai nilai, emosi dan kekuatan komuniti.
“Malam ini, sekolah bersinar dengan cahaya dan dipenuhi gelak tawa. Apa yang dilihat bukan sekadar sebuah sekolah biasa, tetapi sektor pendidikan yang dipenuhi harapan dan kasih sayang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, malam tadi.
Koung Hiing turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), para guru serta ibu bapa yang sentiasa komited memastikan kecemerlangan sekolah.
“Tanggungjawab dan sumbangan anda semua menjadikan hala tuju sekolah lebih teguh.
“Guru-guru mengajar dengan penuh kasih sayang dan mendidik dengan sepenuh hati, menzahirkan erti sebenar pendidikan,” katanya.
Beliau juga menzahirkan rasa kagum terhadap kreativiti dan keyakinan murid-murid yang memeriahkan sambutan dengan membawa tanglung buatan sendiri.
“Paling menggembirakan saya adalah setiap pelajar yang ceria, aktif, dan berseri-seri.
“Cahaya tanglung itu bukan sekadar lampu, tetapi kreativiti, keyakinan diri dan kegembiraan dalam pertumbuhan,” katanya lagi.
Koung Hiing juga menegaskan pentingnya pelaburan dalam pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menjamin masa depan generasi muda.
Dalam pada itu, beliau menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha mendapatkan peruntukan pembinaan kelas prasekolah melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) pada 2026 atau 2027, selain menyokong pelaksanaan aktiviti sekolah.
“Saya amat memahami kepentingan pendidikan di kawasan luar bandar dan akan terus berusaha memastikan pembangunan sekolah berlangsung secara berterusan,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada SJKC Su Tak dan sokongan dana untuk pembinaan bangunan prasekolah.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas pertambahan enrolmen murid pada tahun ini dan yakin sekolah tersebut akan terus berkembang maju.
Turut hadir wakil Pegawai PPD Daerah Sarikei, Ting Sing Teck, Pengerusi PIBG SJKC Su Tak, Huang Ho Hie dan Guru Besar SJKC Su Tak, Wong Suk Eng.
Oleh Earl Anek