
SIBU: Sambutan perayaan dalam suasana berbilang budaya mampu memupuk nilai perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan kanak-kanak sejak usia muda.
Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming berkata, aspek pendidikan itu penting apabila kanak-kanak daripada pelbagai kaum dan latar belakang budaya dapat bersama-sama meraikan sesuatu perayaan.
“Ini mencerminkan nilai harmoni dan perpaduan yang menjadi teras masyarakat negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Tadika Yakin Diri YMCA, hari ini.

Menurutnya, Tahun Baharu Cina bukan sahaja perayaan masyarakat Cina, malah menjadi platform untuk seluruh rakyat Malaysia berkongsi kegembiraan serta keberkatan.
Beliau turut memuji Guru Besar tadika dan semua guru atas persiapan rapi majlis tersebut, selain merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan serta kepercayaan berterusan mereka terhadap institusi berkenaan.
“Kerjasama erat antara keluarga dan pihak tadika memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak membesar secara sihat dalam persekitaran penuh kasih sayang dan galakan,” ujarnya.
Menyentuh isu kanak-kanak berusia enam tahun yang diberi pilihan memasuki Tahun Satu bermula 2027, Lau berkata, dasar itu memberikan lebih banyak pilihan kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, tegasnya fokus utama bukanlah sama ada memulakan persekolahan lebih awal atau lewat, sebaliknya kesesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak itu sendiri.

“Setiap kanak-kanak berkembang pada kadar berbeza, sama ada dari segi kognitif, emosi mahupun kemahiran sosial,” katanya.
Beliau menambah, pendidikan bukan satu perlumbaan dan permulaan lebih awal tidak semestinya menjamin hasil lebih baik.
“Jika kanak-kanak belum bersedia secara fizikal dan mental, kemasukan awal ke sekolah rendah boleh menyebabkan tekanan serta menjejaskan minat dan keyakinan mereka dalam pembelajaran.
“Oleh itu, saya menggesa guru dan ibu bapa supaya bekerjasama rapat menjalankan penilaian menyeluruh dan objektif sebelum kanak-kanak memasuki sekolah rendah,” katanya.
Oleh Akun Giman