KUCHING: Peratusan kanak-kanak di Sarawak yang menerima pendidikan awal sebelum memasuki darjah satu telah menunjukkan peningkatan yang positif.
Pada tahun lepas, peratusan tersebut mencapai 98.81 peratus.
Pencapaian ini merupakan satu kejayaan besar yang patut dibanggakan, terutamanya dalam memastikan generasi muda mendapat asas pendidikan yang kukuh.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata, peningkatan ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang sama dalam pendidikan awal.
“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan. Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika/Taska Permata Kemas Parlimen Petra Jaya Tahun 2024/2025 di Dewan Majma’ Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga menekankan pentingnya pendidikan dalam membentuk keyakinan diri dan kompetitif anak-anak di masa depan. Hal ini menjadi lebih penting terutamanya dalam menghadapi norma baharu pengajaran dan pembelajaran yang lebih berfokuskan literasi digital.
“Cabaran ini akan memotivasi anak-anak kita untuk lebih yakin, lebih kompetitif, dan matang,” tambahnya.
Sebagai usaha untuk terus meningkatkan mutu pendidikan, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM14 juta untuk 2,800 Institusi Pendidikan Awal kanak-kanak di seluruh Sarawak tahun ini.
Peruntukan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diteruskan dari peringkat pra-sekolah.