
KUCHING: Peraturan baharu diperlukan untuk mengharmonikan undang-undang Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) antara Sarawak dan persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata hal ini memandangkan undang-undang CCUS baharu yang diluluskan di peringkat Persekutuan hanya melibatkan Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan, yang mana ia tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.
Katanya, kerajaan Sarawak telah meluluskan undang-undang sendiri berkenaan CCUS dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu.
“Cuma apa yang perlu diharmonikan supaya apa saja pertindihan atau perkara yang memerlukan kerjasama Persekutuan dan negeri, ia dapat diharmonikan melalui peraturan dan sebagainya yang mana ia akan dibincangkan.
“Sebab dalam penstoran (karbon) sudah pasti melibatkan kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Agihan Bubur Lambuk Kejiranan Mesra (KJM) Samariang, hari ini.
Tambah beliau, pengangkutan rentas sempadan untuk CCUS pula juga perlu di dalam peraturan baharu tersebut bagi membolehkan Sarawak memulakan perdagangan karbon.
Undang-undang CCUS di peringkat Persekutuan akan dibentangkan di Dewan Negara sebelum diluluskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, Fadillah telah menyampaikan sumbangan Ramadan daripada Amal Kebajikan Kuching kepada 20 asnaf di Samariang manakala sebanyak 400 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang awam.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman.
Usai program tersebut, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkesempatan berkunjung ke Bazar Ramadan Taman Sukma, untuk membeli juadah berbuka di samping menyantuni masyarakat yang hadir ke bazar berkenaan. – UKAS