SRI AMAN:Ternyata perasaan resah gelisah buat tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu berakhir semalam apabila telah kembali ke kampung halaman masing-masing sekali gus terserlah kegembiraan di wajah mereka tatkala negara masih berperang melawan wabak Covid-19.
Ketibaan ketiga-tiga pelajar tersebut di “drop off point” Dewan Suarah Sri Aman tepat jam 1.00 pagi semalam turut disambut oleh Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Elvis Didit dan petugas barisan hadapan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman serta waris pelajar.
Menurut Elvis Didit, kebajikan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah mendapat pembelaan pada fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini dengan keputusan dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kebenaran buat mereka pulang ke kampung halaman di Zon Hijau dengan mematuhi peraturan dan prosedur operasi piawai (SOP) yang digariskan serta usaha sama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak, kerana memahami denyut nadi ibu bapa yang anak mereka yang terkandas di IPTA sejak lebih sebulan lalu apabila membiayai serta memudahkan urusan penghantaran pelajar-pelajar ini kampung halaman masing-masing bermula Jumaat lepas” katanya yang ditemui di Dewan Suarah Sri Aman awal pagi senalam.
Beliau merasakan perkara ini amat mendesak dan faham perasaan pelajar yang tidak dapat pulang.
“Jika PKP dilanjutkan lagi, saya khuatir pelajar ini akan berdepan tekanan, keresahan dan kebimbangan,” tambah beliau.
Elvis turut menasihati agar pelajar terbabit menjaga disiplin diri dengan mengamalkan penjarakan sosial, duduk di rumah dan tidak mengingkari PKP selepas ini.
“Kerajaan telah dan sedang melakukan yang terbaik untuk semua pelajar dan saya berharap supaya mereka dan ahli keluarga bersabar serta mematuhi SOP ditetapkan MKN,” ujarnya.
Terdahulu ketiga-tiga pelajar dari UPM Kampus Bintulu tersebut terpaksa melalui proses disenfeksi yang dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman seterusnya menjalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan suhu badan dan pengesanan gejala sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.