
MUKAH: Penyertaan lebih daripada 1,000 peserta daripada pelbagai kaum dalam Perarakan Niti Daun sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Daerah Mukah 2026 membuktikan semangat perpaduan yang terus kukuh dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, perarakan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk memelihara adat dan budaya masyarakat Dayak, malah turut berperanan mengukuhkan hubungan antara kaum.
Menurut beliau, penyertaan masyarakat Iban, Melanau, Cina, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan lain-lain dalam acara itu mencerminkan keharmonian yang telah lama menjadi amalan rakyat Sarawak.
“Kehadiran semua memberikan contoh terbaik tentang keharmonian dan perpaduan kaum.
“Semangat dan kesefahaman seperti ini merupakan nilai murni rakyat Sarawak yang wajar terus dipelihara,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah berkata, budaya meraikan pelbagai perayaan bersama-sama telah lama menjadi amalan masyarakat Mukah, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, Pesta Tanglung, Perarakan Krismas, Pesta Kaul Mukah, Majlis Lau Rayak dan Perarakan Maulidur Rasul.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan, khususnya ketika berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli serta Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.
Terdahulu, sebanyak 26 kontinjen yang membabitkan agensi kerajaan, jabatan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah serta komuniti setempat mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.
Bagi kategori sekolah rendah dan menengah, anugerah penyertaan terbanyak masing-masing dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Patrick dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers.

Bagi kategori persatuan dan NGO, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Mukah muncul sebagai pemenang, manakala kategori agensi dan jabatan dimenangi oleh Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Mukah menjuarai pertandingan sepanduk, manakala SMK Three Rivers dinobatkan sebagai johan keseluruhan Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Daerah Mukah 2026.
Oleh Tarani Lanting