Perarakan Maulidur Rasul Miri dibatalkan, majlis dipindah ke Stadium Tertutup

Facebook
WhatsApp
NOTIS pembatalan Perarakan Maulidur Rasul Bahagian Miri. Foto Facebook Pejabat Penerangan Daerah Miri

MIRI: Aktiviti perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M peringkat Bahagian Miri yang dijadualkan berlangsung di Dewan Suarah pada Selasa (25 Ogos) ini dibatalkan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, program berkenaan digantikan dengan Majlis Perhimpunan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Miri yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri.

Menurutnya, majlis itu dijadualkan berlangsung pada Selasa, 25 Ogos 2026, bersamaan 12 Rabiulawal 1448H, bermula 7.00 pagi.

“Dengan pembatalan aktiviti perarakan itu, semua rancangan penutupan dan lencongan jalan awam yang dijadualkan sebelum ini turut dibatalkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, aliran lalu lintas di sekitar bandar raya Miri akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan jalan bagi tujuan perarakan.

Sehubungan itu, pengunjung yang menghadiri majlis di Stadium Tertutup Miri dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang disediakan secara teratur serta tidak menghalang laluan awam di sekitar stadium.

Mohd Farhan turut meminta kerjasama orang ramai mematuhi arahan pegawai polis bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.

Oleh Liong Chai Ling