
BINTANGOR: Perarakan sambutan Hari Krismas di sini semalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana meriah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, ia memperlihatkan perpaduan dan keharmonian komuniti setempat pada musim perayaan.
“Acara tahunan ini menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat yang memenuhi kawasan laluan perarakan sejak awal petang bagi menyaksikan persembahan kreatif, perhiasan bertema Krismas dan paparan kostum berwarna-warni.
“Perarakan melibatkan penyertaan pelbagai kumpulan masyarakat termasuk gereja, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan persatuan tempatan yang tampil dengan konsep persembahan masing-masing bagi memeriahkan suasana.
“Program sebegini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi mencerminkan kekuatan masyarakat Meradong yang sentiasa bersatu merentasi latar belakang budaya dan kepercayaan,” katanya ketika ditemui media.

Tambahnya, penyertaan aktif semua peringkat masyarakat termasuk kanak-kanak, golongan belia dan warga emas, melambangkan semangat kebersamaan dan kesediaan komuniti untuk menjayakan aktiviti berasaskan kemasyarakatan.
“Apabila masyarakat bersama dalam suasana harmoni, kita membina persekitaran yang selamat, tenang dan saling menghormati.
“Selain persembahan bertema Krismas, perarakan turut menampilkan kereta berhias dan pasukan berjalan kaki yang menjadi tumpuan ramai dengan pencahayaan dan dekorasi kreatif menarik perhatian pengunjung,” katanya.
Katanya, kehadiran besar-besaran masyarakat tempatan menunjukkan sokongan kuat terhadap acara komuniti yang telah menjadi sebahagian daripada identiti Bintangor sejak bertahun-tahun.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi keselamatan dan pasukan sukarelawan yang memastikan kelancaran acara.
“Komitmen mereka sangat penting dalam memastikan keselamatan pengunjung dan memastikan acara berjalan dengan tersusun.
“Saya berharap agar penganjuran perarakan Krismas dapat diteruskan sebagai platform mengukuhkan hubungan komuniti dan memupuk perpaduan di peringkat tempatan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek