
SIBU: Perarakan Krismas 2025 yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1sebentar tadi, berjaya menghimpunkan kira-kira 6,000 pengunjung daripada pelbagai denominasi gereja bagi meraikan kelahiran Yesus Kristus.
Acara anjuran Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) Cawangan Sibu itu yang bertemakan ‘Jesus, Our Blessed Hope’ (Titus 2:13), berjaya memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti Kristian di bandar ini.
Pada tahun ini, Gereja Katolik menjadi gereja tuan rumah bagi perarakan tersebut. Acara akan bermula 6.00 petang hingga 10.00 malam.

Antara gereja di bawah ACS yang menyertai perarakan ini termasuk Gereja Anglikan, Borneo Evangelical Mission (BEM), Gereja Katolik serta Gereja Methodist (Sarawak Chinese Annual Conference dan Sarawak Iban Annual Conference).
Turut serta memeriahkan perarakan ialah Young Men’s Christian Association (YMCA) dan beberapa gereja bebas lain, mencerminkan semangat kesatuan dan kerjasama antara masyarakat Kristian tempatan.

Empat kumpulan pancaragam turut membuat persembahan bagi menyemarakkan suasana iaitu Pancaragam Sekolah Tinggi Katolik, Pasukan Bagpipe Sacred Heart, Pancaragam Sekolah Tung Hua dan Pancaragam Boys’ Brigade.
Selain itu, acara tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas melibatkan 300 ahli Gereja Katolik.
Perarakan akan bermula di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 ke Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau, Jalan Channel, Jalan Mission, Jalan Kampung Nyabor, Raminway, Jalan Morshidi Sidek, Jalan Sanyan dan kembali ke dataran, sebelum berakhir di sepanjang Jalan Kampung Nyabor.

Perarakan Krismas anjuran ACS telah menjadi tradisi yang dinanti saban tahun, bukan sahaja sebagai satu acara keagamaan tetapi juga sebagai wadah memupuk kebersamaan dan keharmonian masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, Pengerusi penganjur Perarakan Krismas 2025, Reverend Monsignor Michael Lee Hock Chai serta yang lain.
Oleh Akun Giman