
KUCHING: Suasana bandar raya Kuching malam ini diserikan dengan kemeriahan Perarakan Jalanan Kuching 2025 yang bertemakan ‘Perarakan Cahaya’ berlangsung penuh meriah di Padang Merdeka sebagai sebahagian daripada sambutan tahunan Festival Kuching 2025.
Perarakan kali ini menampilkan sebanyak 54 kontinjen melibatkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), Kejiranan Mesra (KJM) serta institusi pengajian tinggi.
Setiap kontinjen mempersembahkan kreativiti tersendiri melalui hiasan cahaya yang memukau, alunan muzik, tarian berirama serta busana berwarna-warni yang melambangkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Sarawak.

Kemeriahan acara turut menarik lebih 5,000 pengunjung yang membanjiri kawasan sekitar bandar raya untuk menyaksikan suasana penuh warna dan cahaya sempena Perarakan Jalanan Kuching 2025.
Seperti tradisi sejak penganjurannya pada 1990-an, perarakan ini kekal sebagai acara kemuncak yang sentiasa dinanti-nantikan oleh warga Kuching serta pelawat dari dalam dan luar negara.

Perarakan Jalanan Kuching ini bukan sahaja menghidupkan suasana malam bandar raya, malah menjadi lambang penyatuan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam semangat perpaduan.
Selain memeriahkan sambutan Pesta Kuching, acara ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, merancakkan industri pelancongan, serta menonjolkan imej Kuching sebagai bandar raya yang kaya dengan warisan, budaya dan semangat komuniti.
Oleh Shikin Mahmud