Perarakan Gawai Dayak meriahkan Kampung Taee, tampilkan keunikan budaya Bidayuh

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada hadir memeriahkan sambutan perayaan Gawai Dayak di Kampung Taee hari ini. Foto UKAS

SERIAN: Suasana meriah dan penuh warna-warni menyelubungi sambutan perayaan Gawai Dayak di Kampung Taee hari ini apabila komuniti Bidayuh setempat menganjurkan Perarakan Gawai Dayak.

Acara ikonik tahunan yang berlangsung dengan penuh adat dan budaya ini menarik kehadiran ratusan pengunjung, termasuk pelancong asing yang terpesona dengan keunikan warisan etnik Bidayuh.

Pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional, pakaian etnik serta perarakan menyerikan lagi sambutan yang bermula sejak 1.00 tengah hari tadi.

SUASANA meriah dan penuh warna-warni menyelubungi sambutan perayaan Gawai Dayak di Kampung Taee hari ini. Foto UKAS

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada yang menyatakan penghargaan terhadap usaha komuniti Bidayuh dalam memelihara budaya warisan.

“Gawai Dayak bukan sekadar perayaan menuai hasil, tetapi simbol perpaduan dan identiti masyarakat Dayak, khususnya Bidayuh di Serian,” katanya berucap ringkas semasa perasmian di Kampung Taee, Serian hari ini.

Katanya, perarakan ini bukan sahaja menjadi platform untuk generasi muda mengenali akar budaya mereka malah sebagai tarikan pelancongan yang mampu memperkenalkan Sarawak ke persada antarabangsa.

Menurut beliau, kehadiran pelancong asing yang kagum dengan keindahan seni dan budaya tempatan membuktikan potensi besar acara ini sebagai aset pelancongan budaya.

-UKAS