
KUCHING: Acara tahunan Perarakan Datuk Bandar 2025 sekali lagi menyerikan suasana bandar raya dengan kehadiran ratusan peserta terdiri daripada keluarga, sahabat handai dan warga tempatan yang bersama-sama melangkah penuh ceria pagi tadi.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata program tersebut bukan sekadar inisiatif kecergasan, tetapi turut menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan masyarakat dan menyemai semangat kebersamaan.
“Sejak 2017, Perarakan Datuk Bandar menjadi cara kita mengajak orang ramai bergerak aktif, menjaga kesihatan dan menguatkan ikatan komuniti.
“Apabila kita berjalan seiring, kita sebenarnya memperlihatkan wajah sebenar Kuching sebagai sebuah keluarga besar,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut hari ini.
Beliau menegaskan semangat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) adalah ‘Tiada Siapa Tertinggal’, yang meraikan penyertaan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau latar belakang.
Dato Wee turut menegaskan, apa yang lebih bernilai daripada sekadar mengira langkah adalah senyuman, persahabatan dan kenangan yang tercipta sepanjang program tersebut.
“Setiap langkah yang diambil hari ini adalah usaha kita membina sebuah Kuching yang lebih sihat, gembira dan bersatu padu.
“Teruskan berjalan, teruskan tersenyum dan teruskan membina bandar raya berteraskan komuniti serta kepedulian,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua peserta.
Acara tahunan itu terus menjadi platform penyatuan masyarakat bandar raya, sekali gus melahirkan suasana harmoni serta gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
Oleh Adele Rissa