KUALA LUMPUR: Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia fasa kedua akan dibuka mulai 1 Ogos hingga 30 Sept dan diperluaskan kepada penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) serta siswa siswi di kolej matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pelajar dalam kalangan B40 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 sebulan layak mengemukakan permohonan bagi program tersebut.
“Penyampaian peranti fasa dua dijangka dapat dilakukan sebaik sahaja proses permohonan fasa dua ditutup, dijangka pada Oktober akan datang,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.
Annuar berkata bagi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia fasa pertama, hampir 100,000 permohonan sedang diproses dengan penyampaian peranti akan dilaksanakan pada bulan depan.
Katanya, tarikh penyampaian peranti di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut dirunding bersama pihak universiti terlibat.
Mengulas mengenai beberapa laporan yang cuba menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan berhubung pelaksanaan Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, Annuar menegaskan program berkenaan yang bertujuan membantu pelajar B40 di IPTA dan IPTS masih diteruskan.
“Pada peringkat tender pertama, Kementerian Kewangan sebagai kementerian bertanggungjawab tentang urusan perolehan yang melebihi nilai-nilai tertentu telah mengarahkan K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) untuk memanggil semula tender bagi membetulkan beberapa perkara yang Kementerian Kewangan berpandangan perlu dilakukan.
“Itu menyebabkan berlakunya kelewatan kerana tender terbuka yang kedua terpaksa dilakukan dan ia telah pun disiapkan,” katanya.
Pada masa ini, Annuar berkata lembaga tender telah mengangkat perakuan atau laporan kepada Kementerian Kewangan sebagai kementerian yang berautoriti dan dijangka kementerian itu akan membuat keputusan dalam masa seminggu lagi.
Annuar berkata K-KOMM akan memberikan perincian lanjut mengenai Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada 4 Ogos ini dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen. – Bernama