Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Perantau utamakan masa bersama keluarga sempena Hari Gawai
  • TEMPATAN

Perantau utamakan masa bersama keluarga sempena Hari Gawai

Utusan Sarawak 6 hours ago
SUASANA di Terminal Bas Kuching Sentral semakin sibuk apabila orang ramai mula bergerak pulang ke kampung sempena sambutan Hari Gawai. Foto Nadya Victoria 

KUCHING: Peluang berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara terus menjadi perkara paling dinanti-nantikan masyarakat Dayak setiap kali sambutan Hari Gawai.

Hari Gawai yang disambut pada 1 Jun menyaksikan ramai perantau mula pulang ke kampung halaman, dengan 30 Mei menjadi antara fasa akhir perjalanan pulang sebelum malam Gawai pada 31 Mei. 

Tinjauan Utusan Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral hari ini mendapati ramai perantau mula pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan perayaan tersebut bersama keluarga tercinta.

Bagi Thomas dari Sibu, sambutan Hari Gawai mempunyai makna tersendiri kerana menjadi ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga yang jarang ditemui sepanjang tahun.

“Saya akan balik ke Sibu hari ini. Cuti saya hanya enam hari. Bagi saya, Gawai ialah masa untuk kita berkumpul dengan keluarga kerana perayaan ini hanya disambut setahun sekali.

“Gunakanlah masa ini untuk bersama keluarga dan orang yang kita sayang,” kongsinya kepada Utusan Sarawak, di sini hari ini. 

Menurutnya, sambutan Gawai tahun ini dijangka lebih meriah berbanding tahun lalu dengan pelbagai aktiviti dan acara yang dirancang di rumah panjangnya yang mempunyai 56 pintu.

Beliau turut berkongsi kenangan manis apabila berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan karaoke sempena pra-Gawai tahun lalu.

ORANG ramai mula memenuhi Terminal Bas Kuching Sentral hari ini untuk pulang ke kampung sempena sambutan Hari Gawai. Foto Nadya Victoria 

Sementara itu, Engsingan Jeneri, 21, yang akan pulang ke Pakan berkata, momen paling bermakna semasa Hari Gawai ialah dapat bertemu dan berkumpul bersama ahli keluarga.

“Saya bercuti sehingga 7 Jun. Inilah masa untuk kami berkumpul dan mencipta kenangan bersama keluarga,” ujarnya.

Bagi Carollyna Nilu, 21, yang akan menyambut Hari Gawai di Bintulu, perayaan tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan malah menjadi peluang untuk bertemu saudara-mara yang tinggal berjauhan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman.

“Selamat Hari Gawai kepada semua yang menyambut. Jika balik kampung, pandulah dengan cermat dan jangan memandu terlalu laju,” katanya.

Tinjauan tersebut menunjukkan semangat perpaduan, kekeluargaan dan tradisi pulang ke kampung masih menjadi antara nilai utama yang terus dipelihara masyarakat Dayak dalam meraikan Hari Gawai setiap tahun.

Oleh Adele Rissa

Video Nadya Victoria

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Penghuni rumah panjang diminta utamakan keselamatan menjelang Gawai Dayak
Next: Niti Daun libatkan 99 kontinjen, tarikan utama sambutan Gawai Dayak peringkat Sarawak, 20 Jun nanti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.