Perancis, Sepanyol bersiap sedia untuk bertarung di Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KYLIAN Mbappe dari Perancis (kiri) dan Lamine Yamal dari Sepanyol akan bertembung dalam separuh akhir pertama Piala Dunia 2026. Foto AFP

ARLINGTON: Piala Dunia menahan nafas semalam menjelang separuh akhir pertama yang menemukan jentera serangan hebat Perancis dengan pasukan Sepanyol yang kaya dengan kemahiran teknikal.

Perancis mara ke dua final Piala Dunia terakhir, memenangi gelaran pada 2018 di Rusia sebelum tewas kepada Argentina empat tahun kemudian di Qatar dalam final epik meskipun Kylian Mbappe meledak hatrik.

Mereka memburu gelaran Piala Dunia ketiga, manakala Sepanyol — walaupun memiliki tradisi bola sepak yang gemilang — hanya pernah menjulang trofi berprestij itu sekali, iaitu di Afrika Selatan pada 2010.

Ramai pemerhati percaya skuad Sepanyol tahun ini memiliki kualiti untuk memenangi kejohanan tersebut, namun mereka terlebih dahulu perlu mencari jalan mengekang barisan serangan bertaraf bintang Perancis yang diketuai Mbappe.

Penyerang Real Madrid itu telah menjaringkan lapan gol untuk berkongsi kedudukan teratas perlumbaan Kasut Emas bersama Lionel Messi dan bakal memberikan cabaran berbeza kepada benteng pertahanan Sepanyol di Arlington, Texas.

Barisan penyerang Perancis turut dibarisi pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele dan Michael Olise, penyerang kelahiran England yang terkenal dengan kepantasan serta kemahiran menggelecek sehingga memaksa pertahanan lawan keluar daripada posisi dan membuka ruang buat Mbappe mempamerkan magisnya.

Di belakang mereka, sama ada diturunkan sebagai kesebelasan utama atau masuk sebagai pemain gantian, Perancis masih memiliki gandingan Paris Saint-Germain, Bradley Barcola dan Desire Doue.

Kekalahan kepada Argentina yang dipimpin Messi di final Doha empat tahun lalu masih meninggalkan kepahitan buat Perancis dan keinginan untuk membalas dendam amat kuat — sekiranya Messi mampu membawa pasukannya melepasi England dalam satu lagi separuh akhir di Atlanta pada awal pagi Khamis ini (waktu Malaysia). 

Menambah lagi motivasi Perancis, jurulatih Didier Deschamps akan meninggalkan pasukan selepas kejohanan ini berakhir setelah 14 tahun membimbing Les Bleus.

Sudah pun berada dalam kelompok elit yang pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, Deschamps pastinya mahu menambah gelaran ketiga.

“Ia adalah satu pengembaraan manusia dan walaupun saya memilih pemain-pemain ini, bersama skuad setiap hari amat penting buat saya,” katanya selepas Perancis menewaskan Maghribi dengan selesa pada suku akhir.

“Saya sangat gembira secara peribadi dan juga gembira melihat mereka begitu menikmati permainan.”

Kelebihan di pihak Sepanyol?

Dalam diri Lamine Yamal, yang menyambut ulang tahun ke-19 semalam, Sepanyol memiliki pemain yang dijangka bakal menggantikan Messi dan Mbappe sebagai superstar bola sepak generasi seterusnya.

Yamal membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024 tetapi hadir ke Piala Dunia pertamanya dalam keadaan masih pulih daripada kecederaan hamstring.

Pada awal kejohanan, pemain Barcelona itu kelihatan belum mencapai prestasi terbaiknya, namun aksinya semakin meningkat dan dia dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika kemenangan 2-1 ke atas Belgium di separuh akhir.

Remaja itu menegaskan Sepanyol mempunyai kelebihan ke atas Perancis selepas menewaskan mereka 2-1 pada separuh akhir Euro 2024 dan sekali lagi dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025 yang berakhir dengan keputusan dramatik 5-4.

“Ada dua kemungkinan — sama ada mereka mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, atau kami menewaskan mereka tiga kali berturut-turut. Kita lihat apa yang akan berlaku,” kata Yamal.

Perjalanan Sepanyol ke separuh akhir dibina atas pertahanan yang sangat kukuh — gol Belgium di Stadium SoFi, Los Angeles merupakan gol pertama yang mereka bolosi sepanjang kejohanan.

Jurulatih Luis de la Fuente telah mengembalikan corak permainan berasaskan penguasaan bola yang menjadi identiti pasukan-pasukan Sepanyol terdahulu, bermakna Perancis perlu merampas bola terlebih dahulu sebelum dapat melancarkan serangan mereka. — AFP